Selasa, 10 Disember 2013

Kerana Mabuk Todi

Dipetik dari laman sesawang http://www.agendadaily.com

Sehari selepas rusuhan pertama sejak 1969 meletus di Singapura Ahad malam, pemerintah mengumumkan pembentukan Jawatankuasa Siasatan (COI) untuk mencari punca kejadian, cara ia ditangani dan langkah memastikan ia tidak berulang.




Semasa mengumumkan pembentukan COI itu, Perdana Menteri Lee Hsien Loong menekankan rusuhan di Little India itu "satu insiden serius" dan "tiada alasan bagi kelakuan ganas dan jenayah serupa itu".



Polis pula dalam satu sidang akhbar menyatakan sehingga 4 petang Isnin, 27 orang telah diberkas menyusuli kejadian tesebut. Seramai 24 daripada mereka adalah warga India, dua warga Bangladesh dan seorang Penduduk Tetap (PR) Singapura.



Selain itu, penjualan dan pengambilan alkohol dilarang sepenuhnya di kawasan itu hujung minggu ini sebagai 'langkah pertama' memulihkan keadaan, di samping memberi polis masa membuat penilaian dan mendekati pihak berkepentingan sebelum mengambil langkah selanjutnya.



Ini diumum Menteri di Pejabat Perdana Menteri (PMO), S. Iswaran.



Kejadian bermula daripada satu kemalangan jalan raya - sebuah bas melanggar seorang pekerja asing dekat simpang Race Course Road dan Hampshire Road.



Api kemarahan meluap-luap di kalangan pekerja asing yang mahu menaiki bas untuk pulang ke dormitori mereka dan ini menyebabkan mereka merusuh, lebih-lebih lagi melihatkan mangsa kemalangan itu di ambang maut.



Pekerja asing itu, Sakthivel Kumaravelu, 33 tahun, kemudian meninggal dunia.



PM Lee dalam kenyataannya berkata COI itu akan menjalankan siasatan menyeluruh ke atas kejadian tersebut, dan malah meneliti langkah-langkah menguruskan kawasan tempat ramai pekerja asing berhimpun bagi memastikan apakah ia mencukupi atau dapat diperbaiki.



Pada masa yang sama, beliau berkata rusuhan itu adalah satu kejadian terpencil dan sebahagian besar pekerja asing di sini patuh undang-undang.



"Mereka menyumbang kepada ekonomi kita, bekerja keras untuk mencari rezeki dan membantu kaum keluarga di negara asal. Kita tidak boleh membenarkan kejadian buruk ini mencemar pandangan kita terhadap masyarakat pekerja asing di Singapura,'' katanya.



Polis menerima panggilan mengenai kejadian itu pada 9.23 malam dan segera mengejarkan beberapa kereta ronda dan para pegawai untuk mengawal keadaan yang semakin tegang.



Beberapa ambulans dan kereta bomba Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) juga tiba di tempat kejadian untuk menghulurkan bantuan.



Para perusuh yang semakin mengganas itu dikatakan menolak kereta-kereta polis hingga terbalik, membakar kereta bomba dan kereta polis.



Bagaimanapun, para perusuh mula bersurai apabila polis antirusuhan tiba di tempat kejadian. Keseluruhannya 300 pegawai polis dikerah ke situ.



Tinjauan Berita Harian Singapura tengah hari Isnin mendapati kawasan terjejas kelihatan sepi dan jalan-jalan raya yang menjadi saksi kejadian hitam itu telah dibersihkan daripada puing-puing kemusnahan.



Malah, beberapa orang yang ditemui berkata mereka seolah-olah tidak percaya kawasan itu baru menyaksikan satu rusuhan.



Kemusnahan dan kecederaan yang ditimpakan tidaklah sedikit. Seramai 22 pegawai polis dan lima anggota polis tambahan dilaporkan cedera, tetapi telah dibenarkan pulang selepas menerima rawatan.



Seramai 12 pegawai SCDF yang cedera juga telah dibenarkan pulang daripada hospital.



Menurut SCDF, pihaknya telah mengejarkan 60 pegawai, enam ambulans, sebuah Red Rhino, sebuah kereta bomba dan empat kenderaan sokongan.



Namun, sembilan daripadanya - sebuah Red Rhino, tiga ambulans, sebuah kereta bomba dan empat kenderaan sokongan - dilaporkan rosak teruk.



SCDF menegaskan bahawa di sebalik kejadian itu, perkhidmatan melawan kebarakan, kerja-kerja menyelamat dan kecemasan tetap berjalan seperti biasa.



Moral dan semangat para pegawainya tetap tinggi, tambah SCDF.



Dalam kenyataan beliau, Perdana Menteri Lee turut mengucapkan takziah kepada keluarga mendiang Kumaravelu.



Beliau juga menggesa rakyat Singapura supaya terus bertenang dan meneruskan kehidupan seperti biasa.



"Sokonglah para pegawai di barisan depan Home Team kita dan berilah maklumat jika ada kepada polis. Marilah kita terus bersatu padu sedang kita menangani insiden malang dan pastikan Singapura terus kekal sebagai sebuah negara selamat dan berlandaskan undang-undang,'' tegas Lee.-10/12/2013 BHS



Khamis, 13 Jun 2013

Aku Setuju...Anda Bagaimana?

Blogger 'hantu' diharam

Di petik tanpa suntingan dari http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Blogger_hantu_diharam/Article/

TIADA LAGI BLOGGER HANTU!

Najib menyampaikan anugerah kepada pemenang Hadiah Kajai 2012 dari Berita Harian, Sophia Ahmad pada majlis Malam Wartawan Malaysia 2013 dan Penyampaian Hadiah Kewartawanan Malaysia Institut Akhbar Malaysia (MPI)-PETRONAS 2012, di Kuala Lumpur, malam tadi. - Foto Mokhsin AbidinPemilik blog, portal diwajib dedah identiti sebenar

Kuala Lumpur: Pemilik blog dan portal yang menyebarkan maklumat tidak sahih dan fitnah akan dikenakan tindakan tegas selepas kerajaan mewajibkan mereka meletakkan maklumat identiti sebenar tidak lama lagi, kata Datuk Seri Najib Razak.
Perdana Menteri menegaskan, peraturan ‘ketetapan-sendiri’ itu bertujuan memastikan pengamal media sosial lebih bertanggungjawab terhadap maklumat disampaikan, sekali gus mengelak perpaduan masyarakat pelbagai agama dan bangsa dirosakkan oleh maklumat palsu.
"Kerajaan tidak akan mengambil tindakan melesenkan portal berita seperti dilakukan negara jiran tetapi bagi memelihara keharmonian nasional, kerajaan akan menguatkuasakan undang-undang sedia ada untuk memastikan pihak yang cuba menanam perpecahan menggunakan elemen bangsa, agama, bahasa atau cuba memperkecilkan institusi Raja Berperlembagaan serta mencuba merosakkan sistem demokrasi berparlimen, akan diambil tindakan,” Datuk Seri Najib Razak

Sehubungan itu, Najib menegaskan, tidak akan ada lagi penulis ‘tidak bernama’ dalam blog atau portal seperti sekarang bagi memastikan mereka lebih bertanggungjawab terhadap tulisan masing-masing.

Kerajaan tak tapis internet: Najib

“Hari ini landskap media dan organisasi berita mengalami perubahan amat pesat dengan kehadiran media cetak dan elektronik yang dilengkapi media dalam talian. Demokrasi media dan kebebasan bersuara menjadi kenyataan.

“Penggunaan semua bentuk media ini dapat kita saksikan pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13). Penyebaran pelbagai bentuk pembohongan, fitnah dan hasutan kebencian dalam media sosial oleh kelompok yang menggelar diri mereka sebagai wartawan seperti yang berleluasa ketika PRU-13 tidak menguntungkan sesiapa. Aliran ini jika dibiarkan berleluasa, akan mendatangkan kesan buruk kepada negara,” katanya.
Beliau berucap pada majlis Malam Wartawan Malaysia 2013 dan Penyampaian Hadiah Kewartawanan Malaysia Institut Akhbar Malaysia (MPI)-PETRONAS 2012, di Hotel Istana, di sini, malam tadi.

Tidak lesen portal berita

Najib bagaimanapun berkata, kerajaan tidak akan menapis internet walaupun kerajaan mempunyai Akta Komunikasi dan Multimedia dan Rang Jaminan Koridor Raya Multimedia (MSC).

“Kerajaan tidak akan mengambil tindakan melesenkan portal berita seperti dilakukan negara jiran tetapi bagi memelihara keharmonian nasional, kerajaan akan menguatkuasakan undang-undang sedia ada untuk memastikan pihak yang cuba menanam perpecahan menggunakan elemen bangsa, agama, bahasa atau cuba memperkecilkan institusi Raja Berperlembagaan serta mencuba merosakkan sistem demokrasi berparlimen, akan diambil tindakan,” katanya.

Beliau menegaskan, kerajaan akan memastikan rakyat yang sedang menghadapi ‘cabaran kematangan’ sekarang tidak bersikap melampau selepas menikmati kemajuan pesat dalam landskap media dan organisasi berita.

Sehubungan itu, rakyat harus mampu memanfaatkan kebebasan bersuara sebaik mungkin kerana jika corak tenaga baru yang datang daripada kebebasan bersuara itu tidak digunakan dengan baik, mereka akan terkeliru.

‘Kesan rama-rama’

“Isu melanda pemikiran rakyat sekarang adalah pemahaman demokrasi dan hak kebebasan bersuara. Ia memberi kesan yang tidak pernah berlaku sebelum ini hingga meninggalkan ‘kesan rama-rama’,” katanya.

Najib berkata, kunci bagi kejayaan untuk memanfaatkan kebebasan bersuara adalah dengan bermuhasabah mengenai identiti diri sebagai warga Malaysia dan bertanya pada diri sendiri mengenai kebebasan bersuara yang harus sesuai dengan identiti rakyat Malaysia yang berbudi bahasa dan mengamalkan nilai murni.

“Adakah perlu perbezaan pendapat mewujudkan syak wasangka melampau yang asing daripada budaya Malaysia? Untuk demokrasi benar-benar berfungsi, rakyat dan pengamal media semestinya berpegang kepada pendirian mulia supaya tiada antara kita yang menyimpang, mahupun menyalahgunakan kuasa,” katanya.

Sehubungan itu, Najib mengingatkan wartawan supaya mengetengahkan isu lebih utama seperti perpaduan dan usaha memajukan negara, selain menjadi perantara berkesan dalam menyampaikan maklumat antara rakyat dengan kerajaan dan sebaliknya

Selasa, 11 Jun 2013

Privacy???

prismSeorang bekas petugas Agensi Perisikan Pusat (CIA) yang bekerja sebagai kontraktor di Agensi Keselamatan Kebangsaan (NSA) mendedahkan dalam satu wawancara yang disiarkan kelmarin bahawa dia yang membocorkan rahsia satu program pemantauan sulit AS ekoran timbul kesedaran untuk melindungi kebebasan asas penduduk di seluruh dunia.
Berlindung di sebuah bilik hotel di Hong Kong, kontraktor tersebut, Edward Snowden (gambar) memberitahu, dia berfikir panjang sebelum memutuskan untuk mendedahkan program sulit NSA tersebut yang diberi nama PRISM.
Namun, lelaki berusia 29 tahun itu berkata, dia terpaksa belot terhadap majikannya kerana berasa Amerika Syarikat (AS) telah membina program mesin pengintip yang boleh mengintip maklumat setiap warga AS.
"Saya tidak mahu tinggal dalam masyarakat yang melakukan perkara keji ini, saya tidak mahu tinggal dalam dunia yang mana perbuatan dan percakapan saya dirakamkan. Saya tidak boleh menyokong program seperti ini," katanya dalam wawancara bersama akhbar Guardian.
Temu bual itu diisiarkan di laman web akhbar berkenaan.
"NSA membina infrastruktur yang membolehkannya memintas hampir apa sahaja," jelas Snowden.
"Keupayaan itu membolehkan NSA mengintip apa sahaja komunikasi manusia. Jika saya mahu melihat kandungan e-mel anda atau mendengar panggilan telefon isteri anda, saya hanya perlu memintasnya dengan PRISM. Saya boleh mengintip e-mel, kata laluan, rekod panggilan telefon dan maklumat kad kredit anda," tambahnya.
Dalam temu bual tersebut, Snowden memberitahu, dia berpindah ke Hong Kong tiga minggu lalu sekali gus meninggalkan kehidupan selesa di Hawaii, gaji AS$200,000 (RM618,700), seorang teman wanita, kerjaya yang stabil dan keluarga yang menyayanginya.
"Saya rela berkorban semuanya kerana saya tidak boleh hidup tanpa rasa bersalah apabila mengetahui saya membenarkan kerajaan AS memusnahkan privasi, kebebasan internet dan kebebasan asas penduduk di seluruh dunia," kata Snowden.
Lelaki tersebut terlibat dalam kes pelanggaran keselamatan negara yang antara terbesar dalam sejarah AS. Dia setara dengan pembocor maklumat Pentagon, Daniel Ellsberg dan Bradley Manning yang mendedahkan kabel diplomatik AS kepada laman web WikiLeaks.
"Saya tidak berniat untuk bersembunyi kerana saya tahu saya tidak membuat salah," katanya.
"Saya juga tidak takut kerana ini merupakan pilihan saya sendiri," tambah Snowden.
Setakat ini, pihak berkuasa AS mengklasifikasikan pembocoran maklumat itu sebagai kes jenayah.
"Saya kini berada di jalan buntu," jelas bekas ejen CIA itu.
Menurutnya, dia mungkin akan diekstradisi ke AS atau disoal siasat pihak berkuasa China ataupun berdepan tindakan balas CIA.
"Ya, CIA mungkin menghantar ejen-ejennya untuk memburu saya. Mereka juga boleh menghantar anggota perisikan pihak ketiga. CIA bekerjasama rapat dengan sejumlah negara. Agensi itu juga boleh mengupah kongsi gelap bagi tujuan tersebut," ujarnya.
Hong Kong yang mempunyai kuasa pentadbiran sendiri menandatangani perjanjian ekstradisi dengan AS.
Snowden membesar di Bandar Elizabeth, Carolina Utara sebelum berpindah ke Maryland dekat ibu pejabat NSA di Fort Meade.
Dia belajar komputer di kolej komuniti Maryland tetapi gagal menamatkan pengajian untuk mendapatkan diploma.
Snowden mula menyertai NSA sebagai pengawal keselamatan di sebuah fasiliti rahsia di Universiti Maryland. - Reuters

Rabu, 29 Mei 2013

MITOS UNDI POPULAR

Sebagai hebahan mengenai Undi Popular....mari ikuti analisa yang dibuat oleh ahli politik:

MITOS UNDI POPULAR

Selasa, 28 Mei 2013

Banjir! dan Jem sebelum Berpeseta Ka'amatan di Kota Kinabalu

~~~~ Semuanya Ada Di KK....Ada di KK....

28 Mei 2013 - Ini merupakan pengalaman yang semua orang Sabah hadapi sebelum sesuatu perayaan muncul. Perkongsiaan cerita ini merupakan pengalaman peribadi penulis hadapi di Negeri Sabah. Diharap para YB, Datuk, Tan Sri, dan Encik2 yang terlibat sebagai arkitek pembangunan negeri Sabah dapat memikirkan bagaimana dapat mengatasi masalah yang sudah sekian lama menghimpit masyarakat di Kota Kinabalu khususnya.

 Gambar banjir di atas, penulis ambil ketika saya balik ke rumah. Lokasinya di jalan Kg. Tobobon, Kota Kinabalu. Yang peliknya hujan yang kurang dari 3 jam telah mengakibatkan banjir berlaku di kedua-dua jalan raya berkenaan. Mungkin disebabkan faktor manusia yang membuang sampah menyebabkan banjir kilat berlaku. Tetapi, mana perginya penguatkuasa DBKK!. Wakil rakyat kena ketuk la sikit...naik la pejabat sekali sekala...mau tunggu 5 tahun lagi ka. Atau slogan Ini Kali La!!! sudah tukar menjadi Lain Kali La!!!

Gambar Kesesakan Jalan di atas, merupakan gambar yang saya ambil di internet sahaja. Tapi kesesakan ini sentiasa berlaku di Kota Kinabalu khususnya bila menjelang musim sambutan perayaan. Penulis tahu, di mana-mana bandar pun akan mengalami situasi yang sama bila dekat dengan perayaan. Yang ajaibnya jalan raya di Kota Kinabalu ini bukan sahaja sesak pada musim perayaan malah sebelum sambutan juga masyarakat akan mengalami situasi yang sama. Datuk...tolong la...rakyat kita sudah celik dan lagi mereka sudah pandai membanding-bandingkan dengan negeri-negeri lain.

Isnin, 15 Oktober 2012

Peristiwa penting sebelum tertubuhnya Negeri Bangsamoro

bangsamoroSetelah berjuang sekian lama, pihak kerajaan Filipina dan Barisan Pembebasan Islam Moro (Moro Islamic Liberation Front atau MILF) akhirnya bersetuju berdamai menerusi satu Kerangka Persetujuan Perdamaian Mindanao, yang akan ditandatangani secara formal esok bersamaan 15 Oktober 2012 di Istana Malacanang, Manila. Persetujuan ini diumumkan oleh Presiden Benigno Aquino pada sidang akhbar di Manila, Ahad lalu.
Presiden Aquino dalam kenyataannya yang mengambil kira semangat dan aspirasi perjuangan pejuang kebebasan Moro yang telah berjuang untuk kemerdekaan mereka sejak abad ke-15 lagi menyatakan bahawa, "perjanjian ini membentuk satu entiti politik yang baru dan ia berhak untuk mendapat nama yang menggambar dan menghormati perjuangan nenek moyang mereka di Mindanao dan meraikan sejarah dan karakter bahagian ini dalam negara kita. Nama itu adalah Bangsamoro,".
Ini adalah satu peristiwa penting dalam sejarah kerana akhirnya Bangsamoro diterima sebagai satu identiti berdaulat oleh pihak yang satu ketika dulu dilihat sebagai penjajah oleh orang mereka. Bangsamoro juga nama yang diberikan kepada kawasan yang didiami oleh lebih kurang lima juta penduduk beragama Islam di Selatan Filipina ini. Nama ini akan menjadi nama rasmi kawasan ini menggantikan nama yang sedia ada iaitu Autonomous Region of Muslim Mindanao (ARMM) apabila proses transisi kuasa tamat kelak. Sama ada negeri Bangsamoro ini berjaya mencapai perdamaian dan membangunkan masa depan yang lebih baik kepada penduduknya akan bergantung kepada bagaimana kerangka perdamaian ini diimplementasikan.
Proses perdamaian di Mindanao antara kerajaan Filipina telah berlaku hampir 40 tahun. Konflik itu sendiri sebenarnya telah berlangsung lebih lama iaitu sejak abad ke-16. Apabila penjajah Sepanyol datang ke rantau ini, mereka telah berdepan dengan sekelompok pejuang beragama Islam di kepulauan yang kemudiannya dipanggil Filipina. Mereka tidak berjaya menghapuskan tentangan daripada masyarakat ini yang mereka panggil "Moro" sempena nama pejuang Islam yang menentang penjajahan Sepanyol di utara Afrika, ataupun "Moors".
Nama Moro ini kekal sebagai nama kepada 13 kumpulan etno-linguistik beragama Islam yang tinggal di Mindanao dan pulau lain di Selatan Filipina, termasuk Sulu, Palawan, Basilan dan Tawi-Tawi. Perkataan "Bangsa" kemudiannya ditambah kepada "Moro" untuk menunjukkan bahawa kumpulan Moro yang berbeza seperti Maranao, Maguindanao, Tausug, Iranun, Bajau dan lain-lain lagi adalah serumpun atau sebangsa dengan agama Islam sebagai penyatu kepada bangsa ini. Penyatuan ini penting kerana menunjukkan kesatuan mereka sebagai satu bangsa yang dijajah dan tekad mereka untuk membebaskan diri daripada penjajahan negara Filipina.
Proses penentangan penjajahan yang bermula dengan penentangan terhadap Sepanyol disambung kepada penentangan penjajah Amerika dalam abad ke-19 dan 20, seterusnya disambung kepada kerajaan Filipina dalam tahun 1960-an di bawah payung, Pergerakan Kemerdekaan Mindanao (Mindanao Independence Movement). Kejadian pembunuhan beramai-ramai anak muda Moro di Pulau Corregidor atau dikenali sebagai Jabidah Massacre dalam tahun 1968 membangkitkan semangat mereka untuk menubuhkan barisan pembebasan menentang penindasan kerajaan Filipina.
Dalam tahun 1971, Barisan Pembebasan Nasional Moro (Moro National Liberation Front - MNLF) ditubuhkan di bawah pimpinan Nur Misuari dan Salamat Hashim (Ustaz Hashim) sebagai timbalannya. Presiden Marcos memberi respons dengan mengisytiharkan Undang Undang Darurat di Selatan Filipina sebagai usaha menghapuskan perjuangan Moro ini. Intensiti konflik yang meningkat dalam awal tahun 70-an ini seterusnya menyaksikan ramai pelarian dari Selatan Filipina ke Sabah mencari kehidupan lebih aman. Jumlah pelarian ini meningkat dari tahun ke tahun sehingga mencecah hampir 100,000 pada awal tahun 2000.
MNLF kemudiannya mengambil keputusan berunding dengan kerajaan Filipina dan akhirnya menandatangani perjanjian Tripoli di bawah seliaan Libya pada 1976. Tahun berikutnya Ustaz Hashim bersama pengikutnya keluar dari MNLF dan menubuhkan MILF kerana tidak bersetuju dengan usaha Nur Misuari dan perjanjian Tripoli. Semenjak itu MILF dan MNLF berjalan selari dengan dua pemimpin yang mempunyai latar belakang dan hal tuju berbeza - Nur Misuari selaku mantan pensyarah politik Universiti Filipina berpendekatan sekular, manakala Ustaz Hashim mempunyai latar belakang agama yang kuat dengan pendidikan di Timur Tengah. Satu lagi serpihan MNLF adalah kumpulan Abu Sayyaf yang dibawa keluar dari MNLF oleh sekumpulan mubaligh Islam muda pada 1991 kerana perbezaan pendapat dengan pemimpin MNLF.
Perjanjian Perdamaian Akhir (Final Peace Agreement - FPA) antara kerajaan Filipina dan MNLF, hasil fasilitasi Indonesia di bawah payung OIC, dicapai pada 1996. Perjanjian ini melihat pembentukan Daerah Autonomi Muslim Mindanao (Autonomous Region of Muslim Mindanao - ARMM) di bawah pimpinan Nur Misuari dan MNLF. Bagaimanapun, usaha perdamaian tidak tercapai kerana masalah dalaman di ARMM termasuk kekurangan dana untuk pentadbiran dan menjalankan program, penyelewengan kuasa, korupsi dan perbalahan semasa ahli MNLF.
ARMM juga ditolak oleh MILF kerana dianggap sebagai usaha kerajaan Filipina untuk mengekalkan penjajahan Manila ke atas orang Bangsamoro. MILF seterusnya memulakan perundingan mereka sendiri dengan kerajaan Filipina pada 1997. Perundingan ini dihentikan apabila usaha peperangan habis-habisan (all out war) dijalankan oleh Presiden Estrada pada tahun 2000. Perundingan disambung semula selepas Estrada dijatuhkan dan Presiden Gloria Macapagal Arroyo meminta bantuan Malaysia menjadi fasilitator dalam proses perundingan seterusnya.
Malaysia dipercayai kerana dilihat sebagai sebuah negara jiran yang dihormati oleh kedua-dua belah pihak selain negara Islam yang mempunyai keupayaan untuk mengajak kelompok MILF ke arah perdamaian. Perundingan yang bermula kembali pada 2001 ini segera membuahkan hasil dengan perjanjian gencatan senjata. Ini diikuti dengan persetujuan meningkatkan keadaan sosioekonomi penduduk Mindanao dengan penubuhan Agensi Pembangunan Bangsamoro (Bangsamoro Development Agency - BDA).
Seterusnya dalam tahun 2004, kedua-dua pihak bersetuju menerima pasukan pemantau antarabangsa yang dipimpin oleh Malaysia dengan nama International Monitoring Team (IMT). IMT ini melibatkan juga negara lain seperti Brunei dan Libya (Jepun menyertai pasukan ini pada 2007). Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd. Zin, Panglima Angkatan Tentera Malaysia pada masa sekarang telah dipertanggungjawabkan untuk memimpin pasukan IMT yang pertama. IMT telah berjaya mengurangkan insiden keganasan dan pertempuran antara kelompok bersenjata di Mindanao.
Perundingan damai yang berjalan di Malaysia berjaya menghasilkan perjanjian berkenaan kawasan tanah warisan atau Memorandum of Agreement on Ancestral Domain (MOA-AD) pada 2008. Malangnya MOA-AD ini telah ditentang oleh beberapa pemimpin Kristian tempatan di Lanao dan Zamboanga. Mereka ke Mahkamah Agung Filipina untuk menghentikan proses perdamaian ini. Mahkamah kemudiannya mengeluarkan arahan penahanan sementara (temporary restraining order - TRO) ke atas proses ini menyebabkan acara perjanjian yang dirancangkan di Putrajaya pada Ogos 2008 tidak terlaksana.
Atas bangkangan ini juga Mahkamah Agung Filipina akhirnya mengisytiharkan proses perdamaian ini tidak sah dan berlawanan dengan perlembagaan (unlawful and unconstitutional) kerana dianggap membincangkan hal yang di luar bidang kuasanya dan tidak merujuk kepada masyarakat setempat yang akan dipengaruhi oleh keputusan perjanjian ini. Akibatnya, proses perdamaian terpaksa dihentikan. Perkara ini juga mengakibatkan dua komandan MILF keluar memberontak bersama pengikut mereka mengakibatkan kematian beratus orang pada ketika itu. Kumpulan serpihan ini kemudiannya keluar dari MILF dan membentuk Pejuang Kebebasan Islam Bangsamoro atau Bangsamoro Islamic Freedom Fighters (BIFF). Walaupun telah ditolak oleh pihak MILF, kumpulan ini masih menganggap diri mereka pemantau proses perdamaian dan nasib masyarakat Bangsamoro.
Perundingan yang terhenti selepas insiden 2008 itu kemudiannya disambung kembali dengan pelantikan Presiden Aquino dalam tahun 2010. Beliau meletakkan perdamaian di Mindanao sebagai antara agenda utama pentadbirannya. Beliau telah memanggil Dekan Fakulti Undang-Undang Universiti Filipina, Marvic Leonen mengetuai panel perunding kerajaan Filipina. Ini ekoran banyak persoalan undang-undang dan perlembagaan yang perlu dijawab dalam perundingan ini. Leonen kemudiannya mengumpulkan ahli panelnya termasuk ahli akademik Miriam Coronel Ferrer dari Universiti Filipina dan wakil masyarakat Bangsamoro sendiri Yasmin Busran Lao. Di pihak MILF, kebanyakan ahli panel dikekalkan kerana pengalaman mereka seperti ketua panel Mohagher Iqbal dan Datu Michael Mastura. MILF juga menambah ahli panel seperti Profesor Abhoud Syed Lingga dari Institute of Bangsamoro Studies dan peguam yang juga aktivis hak asasi manusia, Raissa Jajurie.
Perundingan yang difasilitasi oleh Malaysia ini mempunyai ciri-ciri inovasi yang tiada dalam mana-mana perundingan sebelumnya. Di samping pasukan pemantau antarabangsa atau IMT, proses ini juga melihat pelantikan kumpulan pemerhati luar yang dipanggil International Contact Group (ICG). ICG terdiri daripada empat negara - United Kingdom, Arab Saudi, Turki dan Jepun, selain empat pertubuhan antarabangsa - Conciliation Resources (UK), Center for Humanitarian Dialogue (Switzerland), Asia Foundation (US), dan Muhammadiyah (Indonesia). Terdapat juga komponen penjagaan kepentingan masyarakat yang dipimpin oleh wakil Kesatuan Eropah. Kesemua ini untuk memastikan proses perundingan berjalan lancar dan terdapat jaminan terhadap hasil perundingan (peranan ICG) dan kepentingan masyarakat terjaga.
Aquino juga mempunyai matlamat yang spesifik iaitu menghabiskan usaha ini selama masih lagi Presiden Filipina. Jika isu ini tidak diselesaikan sekarang, kita tidak pasti apakah presiden selepas ini juga mempunyai hasrat yang sama untuk perdamaian di Mindanao. Tempoh Presiden Aquino adalah enam tahun dari 2010 hingga 2016. Beliau juga memerlukan sekurang-kurangnya tiga tahun untuk mengimplementasikan perjanjian ini. Sebarang penyelesaian konflik perlu melalui proses referendum dengan masyarakat tempatan yang dipengaruhi, di samping perlu melalui Kongres dan Senat Filipina, serta tidak dibangkang oleh Mahkamah Agung.
Semua ini memerlukan masa. Butir-butir spesifik berkenaan perjanjian ini juga perlu dikembangkan dan disosialisasikan kepada masyarakat Mindanao yang terdiri bukan hanya oleh masyarakat Islam Bangsamoro bahkan masyarakat Kristian dan Lumad. Pendapat mereka perlu diambil kira malah persetujuan dan sokongan mereka juga diperlukan. Ini akan mengambil masa. Halangan juga akan ada daripada kelompok MNLF yang masih ingin mengekalkan struktur pemerintahan ARMM. Mereka juga perlu diyakini untuk menyokong Kerangka Persetujuan (Framework Agreement) penubuhan negeri Bangsamoro ini.
Kerangka ini adalah roadmap atau jalan ke arah perdamaian di Mindanao. Ia bermula dengan penerimaan Bangsamoro sebagai bukan hanya satu identiti tetapi juga satu entiti, dengan kawasan dan kuasa yang spesifik. Kerajaan Bangsamoro akan ditubuhkan berdasarkan undang-undang dasar yang akan digubal oleh Pesuruhjaya Transisi yang terdiri daripada 15 wakil masyarakat Bangsamoro yang dilantik oleh kerajaan Filipina dan MILF. Pesuruhjaya ini kemudiannya akan digantikan oleh Autoriti Transisi Bangsamoro dan akhirnya badan legislatif dan eksekutif yang akan membentuk kerajaan Bangsamoro.
Perjanjian komprehensif berkenaan penubuhan negeri Bangsamoro dijangka dicapai penghujung tahun ini. Ahli-ahlinya akan dilantik melalui proses pilihan raya dan akhirnya masyarakat Bangsamoro akan dapat menikmati pemerintahan sendiri sebagai satu bangsa berdaulat setelah beratus tahun bergelumang dengan konflik, penjajahan dan penindasan. Peranan Malaysia akan berterusan dalam memastikan implementasi kerangka ini berjalan lancar. Ini termasuk meneruskan kerja sebagai fasilitator perundingan serta peranan IMT memantau keselamatan di lapangan.
Kejayaan proses ini bergantung kepada banyak faktor termasuk peranan yang dimainkan oleh pemerintah Malaysia dan badan lain seperti Universiti Sains Malaysia yang telah membantu dengan program-program konsolidasi dan rekonsiliasi pihak-pihak yang berkonflik. Dalam kes seperti ini, setiap inisiatif adalah bermakna dan diharapkan perdamaian ini akan berkekalan.-14/10/2012 *gambarhiasan
Penulis merupakan Penyelaras unit penyelidikan dan pendidikan untuk perdamaian, Universiti Sains Malaysia (USM)

Selasa, 25 September 2012

Bila Melancong, hati-hati ke Negara Ini...CHINA, INDIA, MOZAMBIQUE, PAKISTAN & MOLDOVA

Dipetik dari laman: http://www.utusan.com.my/utusan/Kesihatan/20120923/kn_01/Derma-jual-dan-culik

PEMERGIAN Tee Hui Yee, gadis yang boleh kita umpamakan mendapat semangat setelah ‘mati hidup semula’ pada Selasa lepas, sedikit sebanyak menyentap hati kebanyakan kita.
Beliau yang baru mencecah usia 19 tahun mencatat sejarah apabila kisahnya yang menjalani pembedahan pemindahan jantung menarik perhatian ramai selepas mendapat liputan terawal dalam akhbar Utusan Malaysia.
Khalayak berkongsi kesulitan yang dihadapinya terpaksa bergantung hidup dengan jantung mekanikal selama setahun berikutan ketiadaan penderma. Ramai juga merasai ketabahannya menunggu insan mulia yang sanggup menderma jantung kepadanya.

3rd week Kursus Blog

Alhamdulillah, Dalam bulan September 2012, 3 minggu berturut-turut kursus Blog dijalankan. Gumbira rasa hati kerana perkongsian ilmu dengan masyarakat Sabah terlaksana dan mencapai objektif yang disasarkan. Penat, Capek itu memang lumrah kehidupan, yang mustahak kepuasan dalam hati dan kegembiraan yang terpancar apabila melihat sahabat-sahabat sudah memiliki blog sendiri. Harapan saya blog akan sentiasa di update/kemaskini dan menyampaikan maklumat kepada rakan-rakan.