Selasa, 10 Disember 2013

Kerana Mabuk Todi

Dipetik dari laman sesawang http://www.agendadaily.com

Sehari selepas rusuhan pertama sejak 1969 meletus di Singapura Ahad malam, pemerintah mengumumkan pembentukan Jawatankuasa Siasatan (COI) untuk mencari punca kejadian, cara ia ditangani dan langkah memastikan ia tidak berulang.




Semasa mengumumkan pembentukan COI itu, Perdana Menteri Lee Hsien Loong menekankan rusuhan di Little India itu "satu insiden serius" dan "tiada alasan bagi kelakuan ganas dan jenayah serupa itu".



Polis pula dalam satu sidang akhbar menyatakan sehingga 4 petang Isnin, 27 orang telah diberkas menyusuli kejadian tesebut. Seramai 24 daripada mereka adalah warga India, dua warga Bangladesh dan seorang Penduduk Tetap (PR) Singapura.



Selain itu, penjualan dan pengambilan alkohol dilarang sepenuhnya di kawasan itu hujung minggu ini sebagai 'langkah pertama' memulihkan keadaan, di samping memberi polis masa membuat penilaian dan mendekati pihak berkepentingan sebelum mengambil langkah selanjutnya.



Ini diumum Menteri di Pejabat Perdana Menteri (PMO), S. Iswaran.



Kejadian bermula daripada satu kemalangan jalan raya - sebuah bas melanggar seorang pekerja asing dekat simpang Race Course Road dan Hampshire Road.



Api kemarahan meluap-luap di kalangan pekerja asing yang mahu menaiki bas untuk pulang ke dormitori mereka dan ini menyebabkan mereka merusuh, lebih-lebih lagi melihatkan mangsa kemalangan itu di ambang maut.



Pekerja asing itu, Sakthivel Kumaravelu, 33 tahun, kemudian meninggal dunia.



PM Lee dalam kenyataannya berkata COI itu akan menjalankan siasatan menyeluruh ke atas kejadian tersebut, dan malah meneliti langkah-langkah menguruskan kawasan tempat ramai pekerja asing berhimpun bagi memastikan apakah ia mencukupi atau dapat diperbaiki.



Pada masa yang sama, beliau berkata rusuhan itu adalah satu kejadian terpencil dan sebahagian besar pekerja asing di sini patuh undang-undang.



"Mereka menyumbang kepada ekonomi kita, bekerja keras untuk mencari rezeki dan membantu kaum keluarga di negara asal. Kita tidak boleh membenarkan kejadian buruk ini mencemar pandangan kita terhadap masyarakat pekerja asing di Singapura,'' katanya.



Polis menerima panggilan mengenai kejadian itu pada 9.23 malam dan segera mengejarkan beberapa kereta ronda dan para pegawai untuk mengawal keadaan yang semakin tegang.



Beberapa ambulans dan kereta bomba Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) juga tiba di tempat kejadian untuk menghulurkan bantuan.



Para perusuh yang semakin mengganas itu dikatakan menolak kereta-kereta polis hingga terbalik, membakar kereta bomba dan kereta polis.



Bagaimanapun, para perusuh mula bersurai apabila polis antirusuhan tiba di tempat kejadian. Keseluruhannya 300 pegawai polis dikerah ke situ.



Tinjauan Berita Harian Singapura tengah hari Isnin mendapati kawasan terjejas kelihatan sepi dan jalan-jalan raya yang menjadi saksi kejadian hitam itu telah dibersihkan daripada puing-puing kemusnahan.



Malah, beberapa orang yang ditemui berkata mereka seolah-olah tidak percaya kawasan itu baru menyaksikan satu rusuhan.



Kemusnahan dan kecederaan yang ditimpakan tidaklah sedikit. Seramai 22 pegawai polis dan lima anggota polis tambahan dilaporkan cedera, tetapi telah dibenarkan pulang selepas menerima rawatan.



Seramai 12 pegawai SCDF yang cedera juga telah dibenarkan pulang daripada hospital.



Menurut SCDF, pihaknya telah mengejarkan 60 pegawai, enam ambulans, sebuah Red Rhino, sebuah kereta bomba dan empat kenderaan sokongan.



Namun, sembilan daripadanya - sebuah Red Rhino, tiga ambulans, sebuah kereta bomba dan empat kenderaan sokongan - dilaporkan rosak teruk.



SCDF menegaskan bahawa di sebalik kejadian itu, perkhidmatan melawan kebarakan, kerja-kerja menyelamat dan kecemasan tetap berjalan seperti biasa.



Moral dan semangat para pegawainya tetap tinggi, tambah SCDF.



Dalam kenyataan beliau, Perdana Menteri Lee turut mengucapkan takziah kepada keluarga mendiang Kumaravelu.



Beliau juga menggesa rakyat Singapura supaya terus bertenang dan meneruskan kehidupan seperti biasa.



"Sokonglah para pegawai di barisan depan Home Team kita dan berilah maklumat jika ada kepada polis. Marilah kita terus bersatu padu sedang kita menangani insiden malang dan pastikan Singapura terus kekal sebagai sebuah negara selamat dan berlandaskan undang-undang,'' tegas Lee.-10/12/2013 BHS