Sabtu, 23 April 2011

Allahu Akbar!

WHY DID POPE JOHN PAUL II KISS THE HOLY QURAN ?


Rabu, 20 April 2011

BLR, Inflasi dan Risiko Politik

Rencana ini, 0cool dapati dari blog Datuk Dr. Mohd Khir Toyo (mantan MB Selangor) untuk tatapan rakan-rakan

########################

1. Pada bulan hadapan Bank Negara Malaysia (BNM) akan mengadakan satu lagi mesyuarat membabitkan isu Overnight Policy Rate (OPR). Sebelum ini pada bulan Mac lalu BNM tidak membuat sebarang kenaikan OPR. Pada tahun 2010 sebanyak tiga kali kenaikan OPR diumumkan pada Mac, Mei dan Julai yang menyebabkan kenaikan dari 2.0 kepada 2.75.

2. Kenaikan OPR ini akan berkait langsung dengan kenaikan Base Lending Rate (BLR) atau Kadar Pinjaman Asas. BLR turut meningkat sebanyak tiga kali dari 5.55% pada 2009 kepada 6.30 pada Julai 2010.

3. Salah satu tujuan kenaikan OPR dan BLR ialah untuk membendung inflasi. Kebanyakan kita bukan pakar ekonomi jadi kita sendiri tentu sukar untuk memahami bagaimana menaikan kadar pinjaman asas boleh membantu mengurangkan inflasi. Hakikatnya kita terpaksa mengeluarkan lebih banyak wang untuk membayar hutang.

4. Apa yang saya faham secara mudah (mungkin betul atau salah pemahaman ini) ialah kenaikan OPR dan BLR akan menaikkan kadar faedah bagi simpanan. Secara teorinya ini akan menggalakkan orang ramai menabung bagi mendapat faedah yang tinggi. Dengan penabungan iaitu menyimpan di bank, orang ramai akan kurang berbelanja. Ini akan mengurangkan permintaan (teori penawaran dan permintaan) sekaligus menurunkan harga barangan. Penurunan harga barangan akan menurunkan inflasi.

5. Namun persoalan yang jarang dijawab oleh pengamal ekonomi yang mahu mengawal inflasi melalui kaedah ini ialah apakah inflasi hari ini disebabkan permintaan yang lebih daripada penawaran atau kerana peningkatan harga barangan keperluan di luar kuasa pembeli?

6. Tanda-tanda BNM hendak menaikkan kadar OPR tampak jelas apabila beberapa penganlisis ekonomi yang "mesra" kerajaan meramalkan kenaikan ini bagi mengawal inflasi.

7. Pada tahun lalu BNM menaikkan OPR sebanyak tiga kali apabila negara mengalami inflasi. Malangnya kenaikan sebanyak tiga kali tersebut gagal mengawal inflasi apabila inflasi terus meningkat pada bulan Disember lalu sehingga kini.

8. Mengapa ia gagal? Ini kerana kenaikan kadar inflasi di Malaysia pada masa kini berkait rapat dengan kenaikan harga barangan asas dan keperluan utama yang sebahagiannya dikawal oleh kerajaan.

9. Misalnya pada tahun 2010 sebelum kenaikan OPR, kadar inflasi negara naik akibat kenaikan ketara bagi kumpulan utama yang berwajaran tinggi seperti makanan dan minuman bukan alkohol (1.6 peratus); perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain (1.0 peratus); dan pengangkutan (0.7 peratus). Kenaikan-kenaikan lain ialah minuman alkohol dan tembakau, dan pelbagai barangan dan perkhidmatan masing-masing pada 2.9 peratus; perkhidmatan rekreasi dan kebudayaan 2.7 peratus; pendidikan 1.8 peratus; restoran dan hotel 1.6 peratus; kesihatan 1.5 peratus; dan hiasan, perkakasan dan penyelenggaraan isi rumah 0.7 peratus.

10. Selepas kenaikan BLR pun, inflasi masih meningkat. Kenaikan kadar inflasi sejak beberapa bulan lalu dilaporkan oleh FOMCA. Menurut Fomca,

"Kadar inflasi Malaysia pada Disember 2010 naik kepada 2.2 peratus, iaitu yang tertinggi dalam tempoh 19 bulan. Kenaikan kadar inflasi ini berpunca daripada lonjakan harga makanan, komoditi dan penurunan subsidi oleh kerajaan pada akhir tahun 2010. Penurunan subsidi yang menyaksikan kenaikan harga petrol RON95 dan diesel sebanyak lima sen seliter, LPG lima sen sekilogram dan gula 20 sen sekilogram serta sambutan perayaan Krismas dan cuti sekolah telah mendorong kenaikan inflasi.

Bagaimanapun, kadar inflasi negara masih jauh lebih rendah berbanding Indonesia 6.9 peratus, Thailand tiga peratus, Korea 3.5 peratus dan India 8.4 peratus."

11. Jelas sekali sebahagian besar punca kenaikan harga barang adalah kerana kerajaan memotong subsidi. Jadi kadar inflasi yang tinggi ini ialah akibat pemotongan subsidi. Justeru kenaikan OPR dan BLR tidak memberi kesan apa-apa kepada inflasi kerana majoriti rakyat membayar barangan ini bukan untuk kemewahan tetapi untuk keperluan.

12. Lihat kenaikan-kenaikan harga barangan yang mengakibatkan inflasi melonjak tinggi adalah akibat daripada pemotongan subsidi dan kenaikan harga bahan tenaga bukannya kerana lebihan permintaan berbanding penawaran.

13. Dengan menaikkan OPR dan BLR, rakyat bukan sahaja terpaksa membayar barangan harian yang tinggi tetapi perlu menjelaskan hutang pinjaman perumahan dan peribadi yang lebih tinggi. Ini bermakna rakyat akan terus dibeban dengan kos sara hidup yang tinggi.

14. Kenaikan BLR hanya menguntungkan sekumpulan kecil rakyat Malaysia yang mempunyai wang berjuta ringgit dalam simpanan tetap tetapi menindas majoriti rakyat. Saya berharap kerajaan tidak membenarkan polisi ekonomi negara yang membabitkan BLR ini ditentukan oleh birokrat ekonomi BNM sahaja.

Risiko Politik

15. Setiap kali kenaikan OPR dan BLR yang ketara dari tahun sebelumnya, Barisan Nasional akan berhadapan dengan keputusan pilihan raya yang tidak memberangsangkan. Walaupun terdapat banyak faktor lain yang mempengaruhi keputusan pilihan raya, namun kenaikan BLR turut memberi kesan negatif kepada BN.

16. Keputusan pilihan raya 2008 dan 1999 berbanding 2004 dan 1995 kepada BN boleh dihubungkan dengan naik turun BLR. Pada 2008, BLR ialah sebanyak 6.75 berbanding pada 2004, 6%. BLR 6% kekal sehingga 2006 sebelum dinaikkan pada 2007 dan 2008. Akibatnya kita tahu apa yang berlaku pada tahun tersebut kepada BN.

16. Pada 1999, BLR ialah pada 8% dan kita juga tahu nasib BN ketika itu. Memang benar ada faktor lain yang lebih besar. Namun himpitan terhadap majoriti rakyat yang mempunyai pinjaman ini menyebabkan pembangkang mengambil kesempatan membakar kemarahan rakyat terhadap isu Datuk Seri Anwar Ibrahim. Pada 1995 BN mencapai kemenangan cemerlang, BLR ketika itu ialah 6.6 (berbanding 1994 sebanyak 8.25% dan 1993 sebanyak 9.5%).

17. Jadi fikir-fikirkanlah sebelum menggunakan taktik OPR dan BLR ini untuk mengawal inflasi. Inflasi tak terkawal, rakyat makin susah. Bukankah tujuan mengawal inflasi untuk membantu rakyat. Tapi jika ia lebih menyusahkan rakyat apa perlu dikawal dengan kaedah ini?

18. Dalam usaha mengatasi kadar inflasi yang tinggi jangan pula kita menjadi seperti tikus membaiki labu.

# 0cool amat bersetuju dengan pandangan Ybhg. Dr. Khir terutamanya part 17. Disinilah pemikiran kearah inovatif & kreatif di perlukan kepada pembuat keputusan...

Isnin, 18 April 2011

BISIK-BISIK AWANG SELAMAT

SYABAS rakyat Sarawak kerana memberi semula mandat kepada kerajaan Barisan Nasional (BN) mentadbir negeri itu.

Awang berharap kerajaan baru Sarawak dapat mengembalikan semula kepercayaan itu kepada rakyatnya dengan bersungguh- sungguh.

Rakyat Sarawak masih mengharapkan banyak bantuan daripada kerajaan, terutamanya kaum Bumiputera yang cukup taat kepadanya.

Sudah sampai masanya kerajaan Sarawak memberi perhatian sepenuhnya kepada pembangunan di kawasan-kawasan yang menyokongnya.

Kuatkan pusat-pusat pentadbiran di luar-luar bandar bagi memastikan pembangunan di situ diperhebatkan.

Lantiklah barisan Kabinet yang terdiri daripada kepimpinan baru yang mantap dan berhati rakyat.

Jika di sepanjang kempen pilihan raya, para calon berhempas- pulas turun ke bawah ‘menyembah’ memohon ihsan rakyat memberi undi, maka pastikan barisan kepimpinan baru ini tidak mengabaikan mereka.

Bawalah masuk banyak pelaburan, supaya peluang pekerjaan dapat diwujudkan untuk rakyat Sarawak.

Perhebatkan pembinaan prasarana rakyat seperti bekalan elektrik, jalan raya dan air di semua kawasan kaum Bumiputera yang masih ketinggalan. Binalah rangkaian jalan sehingga ke kampung terpencil sekali pun.

Ingat, kaum Bumiputeralah yang memberi sokongan padu sehingga Sarawak dapat ditadbir semula oleh BN.

Pulangkanlah semula rasa terima kasih itu kepada mereka.

Awang – Sudah terang, lagi bersuluh.

#######################

0cool -> amat bersetuju, ayuh ubah minda, kita pasti boleh! Tapi mesti mula dengan pemerintah yang ikhlas melihat masyarakat bumiputera yang berjaya dan jutawan.

Jumaat, 8 April 2011

Menilai jenis pemimpin

MEMINJAM kerangka analisis kepimpinan yang dirumuskan oleh Dr. Azizan Bahari, seorang pensyarah Universiti Utara Malaysia memberikan kita ilham bagi memilih jenis pemimpin yang bakal memimpin kita.

Dalam bukunya, Menjadi Pemimpin (2008), Dr. Azizan memberikan pengukuhan konsep pemimpin kepada empat jenis utama iaitu pemimpin karismatik, pemimpin transaksi, pemimpin yang sentiasa memikirkan kaedah memenangkan dirinya sendiri dan pemimpin transformasi.

Seorang pemimpin karismatik merupakan pemimpin yang popular dan menjadi pujaan pengikutnya. Pemimpin jenis ini, walaupun adakalanya membuat kesilapan, kesilapan yang dilakukan itu tidak dinilai sebagai satu kesilapan. Malah, setiap kali percubaan untuk mendedahkan keburukannya akan dianggap sebagai satu helah, kemudiannya akan dirumuskan sebagai konspirasi. Penyokong setianya tidak boleh menerima kesalahan tersebut, dan sebarang percubaan menjatuhkan pemimpin itu akan ditentang kerana mereka sanggup "mati dan berjuang" mempertahankannya.

Menjadi lebih keutamaan ialah pemimpin karismatik bukan sahaja mampu menghimpunkan ramai pengikut bahkan orang sanggup mendengar ucapannya dengan tekun tanpa menilainya sebagai sesuatu yang bertentangan. Pemimpin jenis ini amat bijak menggunakan lisan dan bahasa badan sehingga ia dilihat hebat, mampu menyelesaikan masalah masyarakat dan gaya retoriknya mempunyai ritma "mega mendung." Pemimpin jenis ini tahu membangkitkan resah melalui kata-kata dan mampu pula memberikan solusi walaupun secara rasionalnya ia adalah sesuatu yang tidak munasabah.

Pemimpin transaksi tidak mempunyai kehebatan berpidato, tetapi ia merupakan pemimpin yang sanggup bekerja keras untuk memenuhi tanggungjawabnya. Pemimpin jenis ini mempunyai idea yang praktikal dan tidak akan membuat janji seandainya tidak mampu dilaksanakan. Pemimpin transaksi mengamalkan gaya kepimpinan sederhana, tidak meninggi diri dan sentiasa berkorban untuk mensejahterakan orang yang dipimpinnya.

Pemimpin ketiga ialah pemimpin yang sentiasa memikirkan kaedah untuk menang sendiri. Pemimpin ini akan menggunakan apa sahaja kaedah dan cara yang difikirkan sesuai asal sahaja kedudukannya dapat dipertahankan. Sifat ini amat bertepatan dengan apa yang dianjurkan oleh Nicollo Micheavelli dan bagi Dr. Azizan ia dikenali sebagai pemimpin ‘Halsca’ (halal segala cara). Fitnah bukan dilihat sebagai kaedah jijik, malah dianggap sebagai satu strategi politik.

Pemimpin keempat ialah pemimpin transformasi. Pemimpin jenis ini bukan sahaja memberikan ilmu kepada pengikutnya malah turut berusaha membentuk budaya berfikir secara rasional. Ia ikut membudayakan percambahan ilmu dan tidak mudah berjanji untuk menempatkan dirinya sebagai populis.

Pemimpin transformasi adakalanya dilihat mempunyai gaya karismatik, tetapi bukan dengan tujuan untuk menunjukkan kehebatan secara peribadi. Pemimpin transformasi tidak berusaha membentuk kelompok penyokong yang fanatik, tetapi lebih menjurus kepada pembentukan pemikiran penyokongnya secara rasional agar mampu membuat keputusan dengan bijak dan berkesan. Pemimpin jenis ini bercakap dengan menggunakan fakta dan bukannya gemar membuat kesimpulan secara tergesa-gesa.

Seorang pemimpin transformasi sentiasa memberikan fokus selaras dengan tanggungjawabnya sebagai seorang pemimpin. Pemimpin jenis ini meletakkan amanah sebagai pemandu arah dan berusaha sepenuh daya untuk memberikan kesejahteraan kepada orang yang dipimpinnya. Pemimpin transformasi tidak menjadikan kedudukannya sebagai keistimewaan, sebaliknya mengutamakan setiap peluang dan fikirannya untuk memenuhi tuntutan masyarakat.

Perspektif kepimpinan transformasi merupakan sifat kepimpinan yang banyak diberikan penekanan dalam al-Quran. Pemimpin jenis ini akan sentiasa berusaha menunaikan tanggungjawabnya dengan penuh amanah dan bila membuat sesuatu keputusan, ia berdasarkan kepada prinsip keadilan.

Konsep keadilan tidak dicampuradukkan dengan konsep sama rata. Konsep keadilan ialah meletakkan hak ditempat yang sepatutnya, maka dalam memenuhi tuntutan tersebut, ia tetap bersandarkan kepada peraturan dan etika yang telah melembagakan sesuatu perkara. Bagi perkara-perkara yang belum dilembagakan sebagai satu bentuk peraturan dan etika, akan dicari pula satu rumusan yang boleh diterima secara umum.

Dalam konteks ini, pemimpin transformasi tidak akan meminggirkan kelompok minoriti walaupun dalam konteks demokrasi, majoriti menjadi kuasa penentu. Kepentingan minoriti akan dilihat secara saksama, kerana mereka juga mempunyai hak selagi hak tersebut tidak melanggar hak orang lain.

Dalam konteks kepimpinan Islam, menunaikan tanggungjawab, menjaga amanah dan menegakkan keadilan adalah beban yang disandarkan ke atas bahu seseorang pemimpin. Sebagai pemerintah (ulil amri), setiap pengikut pula diwajibkan mentaatinya selagi setiap tingkah laku dan kaedah pemerintahan tersebut tidak menjurus kepada kebongkakan, menolak keyakinan dan melanggar perintah Allah SWT serta mendusta Rasulullah (Surah al-Nisa' ayat 48).

Kekuasaan yang diperoleh seseorang pemimpin adalah atas keizinan-Nya. Seseorang itu tidak boleh menganggap kuasa yang ada padanya adalah hak mutlaknya, kerana sehebat mana manusia cuba mendapatkannya, melalui apa cara sekalipun, jika tanpa restu Allah SWT ia tidak akan memperolehnya. Sejarah manusia yang lupa mengenai kekuasaan Allah SWT banyak berlaku meskipun seseorang itu dilihat hebat – dari jenis pemimpin karismatik – tapi akhirnya kecundang dan jika sempat menjadi pemimpin, di akhir pemerintahannya diselubungi tragedi.

Kita mungkin boleh mengambil contoh Muammar Gadafi sewaktu permulaannya dilihat sebagai wira. Setelah lebih 40 tahun memimpin Libya, Gadafi menjadi musuh dan rakyatnya sedang berjuang untuk menyingkirkannya secara tidak terhormat. Begitu juga dengan nasib yang diterima oleh Hosni Mubarak, terpaksa hidup dalam buangan dan menjadi umpatan.

Di dalam kitab Musnad (jilid 3 halaman 154), Imam Ahmad bin Hanbal memetik hadis Rasullullah SAW yang bermaksud: Tidak ada iman (yang sempurna) bagi orang yang sama sekali tidak ada kepercayaan (beramanah) baginya. Dan tidak ada agama (yang sempurna) bagi orang yang sama sekali tidak menepati janji baginya. (Riwayat Ahmad dan Baihaqi).

Berdasarkan prinsip tersebut, menjadi pemimpin bukanlah bermakna mendapatkan jawatan yang tertinggi. Kedudukan jawatan itu perlu disusuli dengan usaha memenuhi tanggungjawab dan amanah. Ingatan itu perlu sentiasa menjadi gagasan yang wahid bagi seseorang yang ingin menjadi pemimpin sebagai mana maksud hadis: Tidak ada seorang pemimpin yang menjaga urusan umat Islam sekiranya dia mati sedangkan dia ada mengkhianati mereka melainkan Allah SWT haramkan ke atasnya syurga. (Riwayat Syaikhan).

Berdasarkan kerangka analisis kepimpinan jelaslah bahawa pemimpin transformasi amat diperlukan berbanding lain-lain jenis pemimpin. Rasulullah saw diakui dunia sebagai seorang pemimpin yang jujur. Bila berjanji kepada masyarakat yang dipimpinnya, ia tunaikan janji sesuai dengan tuntutan Allah SWT.

Rakyat Malaysia semakin matang menilai pemimpin. Rakyat sentiasa memerhatikan setiap tindak tanduk pemimpin kerana rakyat Malaysia semakin sedar, berilmu dan dapat membaca tingkah laku seseorang pemimpin. Rakyat semakin bijak, tetapi dalam kecerdikan itu jangan tersalah pilih, terlalu banyak musang berbulu ayam yang hanya mencari peluang dengan berlakon dan bersandiwara. Hakikatnya, ayam sereban habis, reban bersepah dengan bulu-bulu ayam, musang hilang setelah kekenyangan.

DATUK AZIZ JAMALUDIN MHD TAHIR

ialah Yang Dipertua Yayasan Dakwah

Islamiyah Malaysia (Yadim)


Isnin, 4 April 2011

Penjawat awam perlu terap 4 elemen “Strategi Lautan Biru”

Penjawat awam perlu terap 4 elemen “Strategi Lautan Biru”

04/04/2011 12:17pm

PUTRAJAYA 4 April – Datuk Seri Najib Tun Razak mahukan setiap ahli pentadbiran awam menerapkan empat elemen penting yang terkandung dalam “Strategi Lautan Biru” dalam pengurusan tugas mereka.

Perdana Menteri berkata empat elemen tersebut ialah “mengurang”, “menghapus”, “mewujud” dan “menambah peluang”.

Beliau berkata dengan menerapkan elemen-elemen tersebut, maka pencapaian dan keberhasilan sektor pentadbiran awam akan terus meningkat.

"Jadi dengan cara pendekatan seperti ini, saya percaya kita akan dapat melihat pendekatan kerajaan ini bukanlah melalui aspek agenda utama sahaja.

"Tetapi kita gunakan apa sahaja pendekatan kelengkapan pengurusan...pemikiran yang lebih kreatif supaya pencapaian dan keberhasilan kita dapat ditingkatkan,” katanya ketika berucap pada perhimpunan bulanan Jabatan Perdana Menteri (JPM) di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan.

Najib berkata pemikiran “Strategi Lautan Biru” itu melibatkan pemikiran dengan mengaplikasikan cara-cara kreatif dan inovatif dalam setiap penyelesaian.

Selain itu, beliau berkata setiap penjawat awam juga tidak boleh berfikir secara konvensional iaitu menuntut peruntukan dan kakitangan lebih, sekiranya melakukan sesuatu tugas tambahan.

"Kita telah kenal pasti apakah kekangan struktur pelaksanaan kerajaan yang boleh menjadi hambatan untuk kita memacu maju ke hadapan dengan lebih pantas.

"Justeru itu, kita telah membuat kesimpulan bahawa lapan laporan strategi inisiatif perlu dilaksanakan. Semuanya ini kita telah laksanakan di pelbagai peringkat dan berbeza dengan pendekatan dulu,” katanya.

Perdana Menteri turut memberi contoh bahawa dalam memastikan sistem penyampaian kerajaan dapat dilaksanakan dengan cepat, misalnya dalam urusan mengeluarkan pasport antarabangsa, maka elemen “mengurang” perlu diaplikasikan dalam proses berkenaan.

Beliau berkata langkah pihak berkuasa menahan pegawai dan anggota Jabatan Kastam Diraja Malaysia baru-baru ini pula, merupakan usaha kerajaan “menghapus" ketirisan, salah guna kuasa dan rasuah dalam pentabiran awam.

Beliau berkata kerajaan juga akan berusaha untuk “mewujud” dan pada masa sama, “menambah peluang” kepada setiap rakyat, termasuk dalam sektor awam dan swasta di negara ini. - Bernama