Khamis, 13 Jun 2013

Aku Setuju...Anda Bagaimana?

Blogger 'hantu' diharam

Di petik tanpa suntingan dari http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Blogger_hantu_diharam/Article/

TIADA LAGI BLOGGER HANTU!

Najib menyampaikan anugerah kepada pemenang Hadiah Kajai 2012 dari Berita Harian, Sophia Ahmad pada majlis Malam Wartawan Malaysia 2013 dan Penyampaian Hadiah Kewartawanan Malaysia Institut Akhbar Malaysia (MPI)-PETRONAS 2012, di Kuala Lumpur, malam tadi. - Foto Mokhsin AbidinPemilik blog, portal diwajib dedah identiti sebenar

Kuala Lumpur: Pemilik blog dan portal yang menyebarkan maklumat tidak sahih dan fitnah akan dikenakan tindakan tegas selepas kerajaan mewajibkan mereka meletakkan maklumat identiti sebenar tidak lama lagi, kata Datuk Seri Najib Razak.
Perdana Menteri menegaskan, peraturan ‘ketetapan-sendiri’ itu bertujuan memastikan pengamal media sosial lebih bertanggungjawab terhadap maklumat disampaikan, sekali gus mengelak perpaduan masyarakat pelbagai agama dan bangsa dirosakkan oleh maklumat palsu.
"Kerajaan tidak akan mengambil tindakan melesenkan portal berita seperti dilakukan negara jiran tetapi bagi memelihara keharmonian nasional, kerajaan akan menguatkuasakan undang-undang sedia ada untuk memastikan pihak yang cuba menanam perpecahan menggunakan elemen bangsa, agama, bahasa atau cuba memperkecilkan institusi Raja Berperlembagaan serta mencuba merosakkan sistem demokrasi berparlimen, akan diambil tindakan,” Datuk Seri Najib Razak

Sehubungan itu, Najib menegaskan, tidak akan ada lagi penulis ‘tidak bernama’ dalam blog atau portal seperti sekarang bagi memastikan mereka lebih bertanggungjawab terhadap tulisan masing-masing.

Kerajaan tak tapis internet: Najib

“Hari ini landskap media dan organisasi berita mengalami perubahan amat pesat dengan kehadiran media cetak dan elektronik yang dilengkapi media dalam talian. Demokrasi media dan kebebasan bersuara menjadi kenyataan.

“Penggunaan semua bentuk media ini dapat kita saksikan pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13). Penyebaran pelbagai bentuk pembohongan, fitnah dan hasutan kebencian dalam media sosial oleh kelompok yang menggelar diri mereka sebagai wartawan seperti yang berleluasa ketika PRU-13 tidak menguntungkan sesiapa. Aliran ini jika dibiarkan berleluasa, akan mendatangkan kesan buruk kepada negara,” katanya.
Beliau berucap pada majlis Malam Wartawan Malaysia 2013 dan Penyampaian Hadiah Kewartawanan Malaysia Institut Akhbar Malaysia (MPI)-PETRONAS 2012, di Hotel Istana, di sini, malam tadi.

Tidak lesen portal berita

Najib bagaimanapun berkata, kerajaan tidak akan menapis internet walaupun kerajaan mempunyai Akta Komunikasi dan Multimedia dan Rang Jaminan Koridor Raya Multimedia (MSC).

“Kerajaan tidak akan mengambil tindakan melesenkan portal berita seperti dilakukan negara jiran tetapi bagi memelihara keharmonian nasional, kerajaan akan menguatkuasakan undang-undang sedia ada untuk memastikan pihak yang cuba menanam perpecahan menggunakan elemen bangsa, agama, bahasa atau cuba memperkecilkan institusi Raja Berperlembagaan serta mencuba merosakkan sistem demokrasi berparlimen, akan diambil tindakan,” katanya.

Beliau menegaskan, kerajaan akan memastikan rakyat yang sedang menghadapi ‘cabaran kematangan’ sekarang tidak bersikap melampau selepas menikmati kemajuan pesat dalam landskap media dan organisasi berita.

Sehubungan itu, rakyat harus mampu memanfaatkan kebebasan bersuara sebaik mungkin kerana jika corak tenaga baru yang datang daripada kebebasan bersuara itu tidak digunakan dengan baik, mereka akan terkeliru.

‘Kesan rama-rama’

“Isu melanda pemikiran rakyat sekarang adalah pemahaman demokrasi dan hak kebebasan bersuara. Ia memberi kesan yang tidak pernah berlaku sebelum ini hingga meninggalkan ‘kesan rama-rama’,” katanya.

Najib berkata, kunci bagi kejayaan untuk memanfaatkan kebebasan bersuara adalah dengan bermuhasabah mengenai identiti diri sebagai warga Malaysia dan bertanya pada diri sendiri mengenai kebebasan bersuara yang harus sesuai dengan identiti rakyat Malaysia yang berbudi bahasa dan mengamalkan nilai murni.

“Adakah perlu perbezaan pendapat mewujudkan syak wasangka melampau yang asing daripada budaya Malaysia? Untuk demokrasi benar-benar berfungsi, rakyat dan pengamal media semestinya berpegang kepada pendirian mulia supaya tiada antara kita yang menyimpang, mahupun menyalahgunakan kuasa,” katanya.

Sehubungan itu, Najib mengingatkan wartawan supaya mengetengahkan isu lebih utama seperti perpaduan dan usaha memajukan negara, selain menjadi perantara berkesan dalam menyampaikan maklumat antara rakyat dengan kerajaan dan sebaliknya

Selasa, 11 Jun 2013

Privacy???

prismSeorang bekas petugas Agensi Perisikan Pusat (CIA) yang bekerja sebagai kontraktor di Agensi Keselamatan Kebangsaan (NSA) mendedahkan dalam satu wawancara yang disiarkan kelmarin bahawa dia yang membocorkan rahsia satu program pemantauan sulit AS ekoran timbul kesedaran untuk melindungi kebebasan asas penduduk di seluruh dunia.
Berlindung di sebuah bilik hotel di Hong Kong, kontraktor tersebut, Edward Snowden (gambar) memberitahu, dia berfikir panjang sebelum memutuskan untuk mendedahkan program sulit NSA tersebut yang diberi nama PRISM.
Namun, lelaki berusia 29 tahun itu berkata, dia terpaksa belot terhadap majikannya kerana berasa Amerika Syarikat (AS) telah membina program mesin pengintip yang boleh mengintip maklumat setiap warga AS.
"Saya tidak mahu tinggal dalam masyarakat yang melakukan perkara keji ini, saya tidak mahu tinggal dalam dunia yang mana perbuatan dan percakapan saya dirakamkan. Saya tidak boleh menyokong program seperti ini," katanya dalam wawancara bersama akhbar Guardian.
Temu bual itu diisiarkan di laman web akhbar berkenaan.
"NSA membina infrastruktur yang membolehkannya memintas hampir apa sahaja," jelas Snowden.
"Keupayaan itu membolehkan NSA mengintip apa sahaja komunikasi manusia. Jika saya mahu melihat kandungan e-mel anda atau mendengar panggilan telefon isteri anda, saya hanya perlu memintasnya dengan PRISM. Saya boleh mengintip e-mel, kata laluan, rekod panggilan telefon dan maklumat kad kredit anda," tambahnya.
Dalam temu bual tersebut, Snowden memberitahu, dia berpindah ke Hong Kong tiga minggu lalu sekali gus meninggalkan kehidupan selesa di Hawaii, gaji AS$200,000 (RM618,700), seorang teman wanita, kerjaya yang stabil dan keluarga yang menyayanginya.
"Saya rela berkorban semuanya kerana saya tidak boleh hidup tanpa rasa bersalah apabila mengetahui saya membenarkan kerajaan AS memusnahkan privasi, kebebasan internet dan kebebasan asas penduduk di seluruh dunia," kata Snowden.
Lelaki tersebut terlibat dalam kes pelanggaran keselamatan negara yang antara terbesar dalam sejarah AS. Dia setara dengan pembocor maklumat Pentagon, Daniel Ellsberg dan Bradley Manning yang mendedahkan kabel diplomatik AS kepada laman web WikiLeaks.
"Saya tidak berniat untuk bersembunyi kerana saya tahu saya tidak membuat salah," katanya.
"Saya juga tidak takut kerana ini merupakan pilihan saya sendiri," tambah Snowden.
Setakat ini, pihak berkuasa AS mengklasifikasikan pembocoran maklumat itu sebagai kes jenayah.
"Saya kini berada di jalan buntu," jelas bekas ejen CIA itu.
Menurutnya, dia mungkin akan diekstradisi ke AS atau disoal siasat pihak berkuasa China ataupun berdepan tindakan balas CIA.
"Ya, CIA mungkin menghantar ejen-ejennya untuk memburu saya. Mereka juga boleh menghantar anggota perisikan pihak ketiga. CIA bekerjasama rapat dengan sejumlah negara. Agensi itu juga boleh mengupah kongsi gelap bagi tujuan tersebut," ujarnya.
Hong Kong yang mempunyai kuasa pentadbiran sendiri menandatangani perjanjian ekstradisi dengan AS.
Snowden membesar di Bandar Elizabeth, Carolina Utara sebelum berpindah ke Maryland dekat ibu pejabat NSA di Fort Meade.
Dia belajar komputer di kolej komuniti Maryland tetapi gagal menamatkan pengajian untuk mendapatkan diploma.
Snowden mula menyertai NSA sebagai pengawal keselamatan di sebuah fasiliti rahsia di Universiti Maryland. - Reuters