Jumaat, 25 Mei 2012

Kerancuan Pemikiran Irshad Manji Dalam Bukunya ‘Allah, Kebebasan Dan Cinta’


Kerancuan Pemikiran Irshad Manji Dalam Bukunya ‘Allah, Kebebasan Dan Cinta’

Karim Omar – dipetik dari: Laman Rasmi JAKIM

KERANCUAN PEMIKIRAN IRSHAD MANJI DALAM BUKUNYA ‘ALLAH, KEBEBASAN DAN CINTA’


Mohd Aizam Mas’od
Seksyen Aqidah
Bahagian Perancangan dan Penyelidikan JAKIM

Membawa ideologi pluralisme agama
Buku Manji dimulakan dengan perbahasannya tentang tuhan. Dalam halaman 9 Manji mendakwa kalimah Allah adalah terjemahan bahasa Arab bermaksud Tuhan. Ini bererti kalimah Allah bukanlah kata nama khas yang merujuk kepada tuhan tertentu tetapi mana-mana perkara yang dijadikan tuhan akan diterjemahkan Allah dalam bahasa Arab. Itu adalah rumusan mudah dalam memahami pendirian Manji tentang Allah. Kemudian Manji mengakui bahawa dia sedar pemahamannya tentang tuhan bukanlah seperti yang difahami oleh ramai orang.  Bermakna Manji sendiri akur bahawa dalam perkara yang paling asas dalam agama Islam iaitu isu ketuhanan, dia sendiri masih kabur dan tidak memiliki titik temu dengan majoriti umat Islam yang lain. Justeru, bagaimanakah Manji mampu melakukan perubahan atau reformasi pada perkara-perkara yang lain. Sekurang-kurangnya Manji perlu meletakkan asas yang sama antara semua umat Islam sebelum berpindah kepada perkara yang lain.
Dalam hal ini, Manji perlu tahu bahawa umat Islam dengan penuh keimanan mengatakan Allah adalah kata nama khas yang hanya merujuk kepada Tuhan Yang Maha Esa. Jika dikatakan bahawa kalimah Allah adalah terjemahan Arab bermaksud Tuhan, ini bermakna tuhan-tuhan dalam agama lain juga akan dirujuk sebagai Allah. Hal ini secara tidak langsung mengakui bahawa agama-agama lain itu juga menyembah tuhan yang sama sebagaimana yang disembah oleh umat Islam. Sedangkan Allah SWT menolak penyembahan yang dilakukan itu sebagai penyembahan yang merujuk kepada zat-Nya. Ketika surah al-Ikhlas diturunkan, ia membicarakan soal konflik tentang siapakah sebenarnya Allah yang dituturkan oleh agama-agama lain itu. Adakah ia tepat dan benar dengan konsep “Allah” sebagaimana yang digelar dan dipanggil oleh mereka? Imam Ibn Kathir menukilkan kata-kata ‘Ikrimah tentang perihal turunnya ayat ini.
Berkata ‘Ikrimah: “Ketika orang Yahudi mengatakan: Kami menyembah ‘Uzair anak Allah. Orang Nasrani mengatakan: Kami menyembah al-Masih anak Allah. Majusi pula mengatakan: Kami menyembah matahari dan bulan. Orang musyrikin pula mengatakan: Kami menyembah berhala. Lalu Allah SWT menurunkan ke atas Rasulullah SAW surah al-Ikhlas yang bermaksud: Katakanlah wahai Muhammad bahawa Allah itu Esa, Allah itu tempat bergantung segala makhluk-Nya, Allah itu tidak beranak dan tidak diperanakkan dan Allah itu tiada bagi-Nya sekutu”. (Tafsir Ibn Kathir, j.4, hal. 571)
Manji juga mengatakan bahawa Allah itu adalah Tuhan yang dikongsi dengan semua orang. Istilah seperti ini tidak pernah digunapakai dalam aqidah Islam. Jika kita mengiktiraf bahawa kita berkongsi tuhan dengan agama lain, ini bermakna kita juga mengiktiraf keabsahan agama lain, sedangkan Allah SWT sendiri menafikan agama-agama lain dan bentuk penyembahan yang mereka lakukan. Apabila dalam surah al-Ikhlas, Allah SWT menegaskan sifat-sifat-Nya Yang Esa, tidak beranak dan tidak diperanakkan, ini bermakna mereka yang menyembah tuhan yang berbilang-bilang dengan dakwaan bahawa Allah itu tiga dalam satu atau memiliki anak maka itu bukanlah Allah SWT. Bahkan Allah SWT menggelarkan tuhan yang disangkakan tuhan oleh manusia itu sebagaitaghut. Firman Allah SWT dalam surah al-Nahl ayat 36:
“Dan sesungguhnya Kami telah mengutus dalam kalangan tiap-tiap umat seorang Rasul (dengan memerintahkannya menyeru mereka): Hendaklah kamu menyembah Allah dan jauhilah taghut, maka di antara mereka (yang menerima seruan Rasul itu), ada yang diberi hidayah petunjuk oIeh Allah dan ada pula yang berhak ditimpa kesesatan, oleh itu mengembaralah kamu di bumi, kemudian lihatlah bagaimana buruknya kesudahan umat-umat yang mendustakan Rasul-rasul-Nya”.
Imam al-Tabari mengatakan taghut itu ialah setiap perbuatan melampaui batas ke atas Allah, seperti menyembah kepada selain-Nya sama ada secara paksa daripada yang disembah atau secara taat daripada orang yang menyembahnya, tanpa mengira yang disembah itu adalah manusia atau syaitan atau berhala atau patung atau apa sahaja. (Tafsir al-Tabari, j. 3, hal. 19)
Berdasarkan ayat ini dan beberapa ayat lain yang menafikan penyembahan kepada taghut, bermakna Allah SWT tidak mengiktiraf peribadatan agama lain yang menyembah kepada taghut iaitu tuhan-tuhan selain Allah SWT. Oleh itu, bagaimana boleh dikatakan bahawa kita berkongsi Allah dengan agama-agama lain sedangkan Allah SWT sendiri tidak mengiktiraf penyembahan mereka.
Manji seterusnya mendakwa Allah adalah Tuhan cinta dan kebebasan. Dia mendakwa Tuhan itu begitu mencintainya dan memberinya kebebasan untuk membuat pilihan. Benar, secara kawni atau alaminya, semua manusia tanpa mengira agama diciptakan oleh Allah SWT, malah sekalian alam ini pun memang diciptakan oleh Allah SWT. Namun semata-mata kerana alasan penciptaan, ia tidak boleh mengesahkan bahawa semua makhluk dicintai dan diberikan kebebasan mutlak oleh Allah SWT. Jika itu telahan anda bermakna ia hanyalah khayalan dan angan-angan semata-mata. Sebagaimana anda percaya Allah SWT memiliki hak mutlak untuk menciptakan apa pun dan sesiapa pun yang dikehendakinya, anda jangan lupa bahawa Dia juga berhak untuk mencintai dan memurkai sesiapa yang diingininya. Dia juga berhak untuk memberi kebebasan dan sekatan pada perkara yang dikehendakinya.

Ini bermakna anda terlebih dahulu perlu meletakkan bagi Allah SWT itu kehendak atau masyi’ah serta kuasa atau qudrah yang mutlak untuk menentu dan menetapkan sesuatu. Jangan kerana kehendak dan keinginan anda begitu dan begini, lalu anda pun memaksakan bahawa itulah jua kehendak Allah SWT. Jika anda lakukan begitu, ini bermakna andalah yang lebih berkuasa dan berkehendak daripada Tuhan Yang Maha Berkehendak dan Berkuasa itu. Secara eksplisitnya, akal andalah yang sebenarnya sedang dipertuhankan bukan Allah SWT.
Sebagai contoh, Allah SWT pernah menyatakan kemurkaan-Nya terhadap golongan yang melampaui batas kerana mengambil patung anak lembu untuk dijadikan sesembahan. Firman Allah SWT dalam surah al-A’raf ayat 152:
“Sesungguhnya orang-orang yang menyembah (patung) anak lembu itu, akan ditimpa kemurkaan dari Tuhan mereka dan kehinaan dalam kehidupan dunia, dan demikianlah Kami membalas orang-orang yang mengada-adakan perkara yang tidak benar”.
Ayat ini dengan jelas menunjukkan, walaupun kaum Bani Israel itu diciptakan oleh Allah SWT, bahkan dipilih daripada kalangan mereka para nabi, namun itu tidak menjamin mereka untuk tidak dimurkai oleh Allah SWT sekiranya mereka melanggar batas-batas kebebasan yang ditetapkan. Hal ini tidak sukar untuk difahami kerana hukum duniawi juga memperakuinya. Perhatikan bagaimana seorang ibu yang melahir dan membesarkan seorang anak akan terus menyayangi anaknya, tetapi kasih sayang itu belum pasti akan kekal jika anaknya itu suatu hari nanti menderhaka dan melukai hatinya.
Kekeliruan Manji dalam memahami konsep ketuhanan semakin tampak apabila dalam halaman-halaman terakhir bukunya, dia mengungkapkan bahawa Allah itu sebagai dewi bulan. Manji berkata dalam salah satu ungkapannya pada halaman 367, “..anda Muslim palsu jika anda menyelaraskan Allah, kebebasan dan cinta, tetapi anda Muslim yang jahat jika anda tidak melakukannya. Hanya dewi bulan saya yang mampu menjelaskan logik itu kepada saya”. Timbul persoalan, bagaimana ungkapan dewi bulan boleh timbul daripada seseorang yang mengaku Muslim?
Gelaran Manji kepada Allah sebagai dewi bulan menunjukkan betapa pemikiran Manji terperangkap dengan spekulasi dusta rekaan seorang Orientalis-Kristian bernama Robert Morey. Dalam bukunya Islamic Invasion : Confronting the World’s Fastest Growing Religion, Morey cuba mengenengahkan beberapa ‘fakta arkeologi’ tentang dewa bulan bernama Allah. Hairannya kesimpulan Robert Morey hanya berdasarkan fakta bahawa sebelum Nabi Muhammad SAW lahir, bangsa Arab telah mengenali nama Allah. Kemudian secara kebetulan ditemui sejumlah patung yang diandaikan sebagai patung Allah dengan lambang bulan sabit di atasnya. Sedangkan bulan sabit adalah lambang yang secara umum memang terdapat di atas menara atau kubah masjid tempat ibadah umat Islam. Lalu Morey menyimpulkan bahawa Allah adalah nama dewa bulan bangsa Arab. Analisis Morey inilah kemudiannya menjadi hujah golongan orientalis untuk menuduh tuhan Islam itu hanyalah berhala yang disembah oleh kaum paganisme sebelum Islam. Amat mendukacitakan jika Manji yang mengaku sebagai reformis Islam hanya tertipu dengan hujah orientalis yang dangkal itu!
Manji sepatutnya tahu, ajaran Islam hanyalah penyempurnaan dan kesinambungan kepada millah Ibrahim (Ibrahimic Faith). Bangsa Arab telah mengenal nama Allah tersebut melalui saki baki ajaran Nabi Ibrahim itu. Ini kerana bangsa Arab merupakan keturunan langsung Nabi Ibrahim menerusi anaknya, Nabi Ismail. Maka tidak menghairankan, jika fenomena kehanifan dengan hanya menyembah Allah Yang Maha Esa dan menghindarkan diri dari penyembahan berhala telah wujud sejak sekian lama dalam kehidupan bangsa Arab sebelum zaman kenabian Muhammad lagi. Hal ini juga membuktikan adanya kesinambungan ajaran para nabi sejak Nabi Adam sehinggalah Nabi Muhammad SAW.
Sebahagian daripada masyarakat Arab sebelum Nabi Muhammad SAW telah memiliki kecenderungan memuja fenomena alam seperti bintang, bulan, matahari, jin dan lain-lain. Walau bagaimanapun Allah ditempatkan oleh mereka sebagai kekuatan tertinggi, bahkan di atas dewa-dewa ciptaan bangsa Arab. Pembuatan patung-patung atau berhala para dewa tersebut hanya dianggap sebagai wasilah (perantara) untuk memuja Allah, sebagai kekuatan tertinggi tersebut. Prof. Dr. Raji  al Faruqi dan Louis Lamya’ al-Faruqi, dalam satu hasil kajian sejarah dan arkeologi, mengatakan bahawa nama Allah telah dikenali oleh bangsa Arab sejak lama. Nama tersebut ditujukan kepada suatu kekuatan tertinggi di atas segala dewa Arab, ia bukan sekali-kali nama diri dari dewa bulan sebagaimana kesimpulan Robert Morey. (Ilmiah Intelektual dalam Sorotan, hal. 86)
Fenomena ini dapat dijelaskan sebagai hasil percampuran konseptual antara sisa ajaran Nabi Ibrahim dengan dinamisme dan animisme yang kemudian tumbuh dalam masyarakat Arab selama kurun masa yang panjang. Maka penyandaran nama Allah sebagai nama dewa bulan sebagaimana dilakukan oleh Morey, jelas merupakan kesimpulan yang terburu-buru dan spekulatif. Amat menghairankan bagaimana seorang yang mengaku Muslim seperti Manji boleh menggunapakai istilah yang boleh menggugat prinsip ketuhanan agamanya sendiri. Di sini, Manji tidak boleh menyalahkan golongan yang digelarnya sebagai Islamo-tribalist jika dia dituduh kafir atau murtad. Tidakkah meletakkan Allah menjadi tuhan berhala seperti yang disembah oleh kaum jahiliyyah itu adalah dekonstruksi terhadap prinsip ketuhanan sekaligus meruntuhkan keislaman umat Islam termasuk Manji sendiri?
Pada halaman 70, Manji tanpa segan silu mengutarakan posisinya berkenaan perkahwinan antara agama. Beliau telah mengambil pandangan seorang pemikir Islam liberal di Universiti San Diego, California iaitu Khaleel Mohammed untuk mengatakan tentang keharusan perkahwinan antara agama. Padahal isu perkahwinan antara agama bukanlah sesuatu yang relevan untuk dijadikan bahan ijtihad kerana nasnya amat jelas dan terang menurut al-Qur’an. Allah SWT berfirman dalam surah al-Baqarah ayat 221:
“Dan janganlah kamu berkahwin dengan perempuan-perempuan kafir musyrik sebelum mereka beriman (memeluk ugama Islam); dan sesungguhnya seorang hamba perempuan yang beriman itu lebih baik daripada perempuan kafir musyrik sekalipun keadaannya menarik hati kamu. dan janganlah kamu (kahwinkan perempuan-perempuan Islam) dengan lelaki-lelaki kafir musyrik sebelum mereka beriman (memeluk ugama Islam) dan sesungguhnya seorang hamba lelaki yang beriman lebih baik daripada seorang lelaki musyrik, sekalipun keadaannya menarik hati kamu, (yang demikian ialah kerana orang-orang kafir itu mengajak ke neraka sedang Allah mengajak ke syurga dan memberi keampunan dengan izin-Nya, dan Allah menjelaskan ayat-ayat-Nya (keterangan-keterangan hukum-Nya) kepada umat manusia, supaya mereka dapat mengambil pelajaran (daripadanya).
Ayat di atas sangat jelas tentang pendirian Islam terhadap pernikahan antara agama iaitu seorang lelaki Muslim tidak boleh mengahwini seorang wanita musyrik (kecuali wanita ahli kitab di kalangan Yahudi dan Nasrani) serta wanita Muslimah tidak dibenarkan berkahwin dengan lelaki musyrik dan kafir. Perkara ini  seterusnya telah menjadi ijmak di kalangan para ulama dan memungkirinya bermakna engkar kepada perintah Allah SWT sendiri.
Namun bagi golongan seperti Manji yang mengaku dirinya sebagai inklusif-pluralis, setiap agama dianggap mempunyai jalan keselamatan masing-masing, memiliki konsep ketuhanan, mengajarkan kebaikan, sehingga tidak boleh dikatakan agama itu terbahagi kepada agama yang benar dan sesat. Berasaskan prinsip inilah, hukum perkahwinan antara agama menurut mereka adalah harus.
Pada halaman 76, fahaman pluralisme agama Manji terus menyerlah dan tidak berselindung lagi. Secara terang-terangan Manji menafikan eksklusiviti kebenaran yang wujud dalam agama Islam dengan menghujahkan bahawa  agama Islam hanyalah kelangsungan daripada agama Kristian dan Yahudi, justeru tiada agama yang berhak mendakwa ianya lebih benar daripada yang lain.
Manji berkata: “Sebagai seorang Muslim, saya percaya pada Ketunggalan. Lagi pun, Islam datang secara langsung daripada agama Yahudi dan Kristian. Sang Pencipta yang universal…Kehidupan abadi setelah kematian…Kehendak bebas…Para Nabi tidak bebas daripada melakukan kesalahan. Muslim berhutang budi pada bukan-Muslim atas soal-soal kepercayaan ini. “Kemurniaan” kita dapati ditemukan dalam pluralisme kita. Jadi, kita sebagai Muslim bertindak seakan-akan kita paling hebat dan benar, ertinya kita sedang menyulut perang saudara dengan sebahagian daripada diri kita”.
Manji menggunakan istilah “Ketunggalan” sebagai alasan utamanya tetapi apa maksud “Ketunggalan” menurut Manji. Apakah Manji terpengaruh dengan fahaman Wahdatul Wujud (kesatuan yang wujud) yang mengatakan alam dan segala isi kandungannya itu adalah limpahan daripada zat-Nya. “Ketunggalan” begitukah yang dimaksudkan oleh Manji. Zahirnya memang dilihat begitu kerana Manji kemudiannya mengatakan agama Yahudi dan Kristian adalah kesinambungan sebelum kedatangan Islam, malah Muslim terhutang budi kepada bukan Muslim atas soal-soal aqidahnya. Lalu Manji menyimpulkan bahawa “kemurniaan” hanya dapat ditemui menerusi pluralisme agama. Akhirnya, Islam benar, Kristian benar, Yahudi benar dan lain-lain pun benar dan tiada suatu pun yang tidak benar kerana semuanya datang daripada limpahan zat Tuhan Yang Esa.
Pandangan Manji ini cenderung kepada falsafah Wahdatul Wujud atau di Barat ia dikenali dengan faham Transcendent Unity of Religions. Apa pun, dalam membongkar maksud “Ketunggalan”, Manji perlu membezakan antara ketunggalan yang berpaksikan Tauhid dengan ketunggalan yang berpaksikanWahdatul Wujud. Tauhid adalah mengesakan Allah SWT pada zat, sifat, perbuatan dan penyembahan kepada-Nya. Bermakna kewajipan kita sebagai hamba adalah mengesa atau mentauhidkan-Nya pada keempat-empat perkara tersebut. Bererti perkara yang ditauhidkan atau ditunggalkan adalah Allah SWT semata-mata.
Sebaliknya falsafah Wahdatul Wujud adalah fahaman yang berpegang kepada prinsip “tiada yang wujud kecuali Allah” atau disebut “kesatuan yang wujud”. Falsafah ini bukan sahaja mengesa atau menunggalkan Allah tetapi ia menunggalkan seluruh alam hingga menjadi satu dengan Allah. Dari sinilah lahirnya prinsip Wahdatul Adyan yang akhirnya menunggalkan semua agama kerana semuanya dikatakan lahir dari sumber yang satu. Islam, Kristian, Yahudi, Hindu, Buddha dan lain-lain tidak boleh dinafikan kerana semuanya datang dari sumber yang tunggal. Inilah sebenarnya keyakinan Manji tentang “Ketunggalan”, ia bukanlah Tauhid Islam tetapi falsafah Wahdatul Wujudseperti yang terkandung dalam karya-karya pemikir mistik muslim Barat seperti Rene Guenon (Abdul Wahid Yahya) dan Frithjof Schuon (Isa Nuruddin Ahmad). Karya-karya mereka ini, khususnya Schuon dengan bukunya The Transcendent Unity of Religions sangat sarat dengan pemikiran-pemikiran atau gagasan-gagasan yang menjadi inspirasi dasar bagi tumbuh kembangnya wacana pluralisme agama.
Sekiranya Manji benar-benar seorang Muslim tulen, amat mudah baginya untuk membenteng diri daripada pengaruh pluralisme agama. Apa yang penting Manji perlu membezakan antara ajaran nabi-nabi Bani Israel dengan agama yang telah diselewengkan sehingga terbentuknya Kristian dan Yahudi. Agama Islam sekali-kali bukan agama yang terhasil daripada kelangsungan agama Kristian dan Yahudi sebaliknya ia adalah kelangsungan daripada ajaran asal nabi-nabi yang terdahulu. Bahkan Allah SWT pernah menafikan di dalam al-Qur’an bahawa nabi-nabi yang terdahulu membawa ajaran Kristian dan Yahudi. Firman Allah SWT dalam surah Ali ‘Imran ayat 67:
“Bukanlah Nabi Ibrahim itu seorang pemeluk agama Yahudi, dan bukanlah ia seorang pemeluk agama Kristian, tetapi ia seorang yang tetap di atas dasar tauhid sebagai seorang Muslim (yang taat dan berserah bulat-bulat kepada Allah), dan ia pula bukanlah dari orang-orang musyrik”.
Ayat ini jelas menunjukkan Nabi Ibrahim juga adalah seorang Muslim dan begitu jugalah keturunan Baginda di kalangan nabi-nabi yang selepasnya seperti Nabi Daud, Nabi Musa dan Nabi Isa. Jelas, Allah menafikan Islam itu kesinambungan daripada agama-agama yang terseleweng seperti Yahudi dan Kristian.

Menyeru kepada ijtihad bebas dan menolak ijmak
Banyak bahagian dalam buku ini, Manji menobatkan dirinya sebagai “mujtahid”. Bahkan dalam halaman 13, Manji berbangga dengan anugerah Chutzpah Award oleh Oprah Winfrey yang bererti keberanian yang hampir mencapai tahap gila. Kata Manji anugerah itu adalah atas gagasan beliau membawa perjuangan ijtihad yang bermakna tradisi berbeza pendapat, menalar dan menafsir Islam dengan menggunakan fikiran sendiri.
Malangnya Manji tidak pernah mengemukakan definisi ijtihad yang dimaksudkan dalam bukunya. Dia hanya mengemukakan maksud ijtihad dari pemerhatiannya iaitu berfikir dan berbeza pendapat. Manji tidak mengemukakan apakah subjek yang ingin diijtihadkan itu, adakah ia teks-teks al-Qur’an atau hadith-hadith Rasulullah SAW? Bagaimanakah dengan teks-teks suci yang petunjuknya jelas dan muktamad, adakah ia juga termasuk dalam ruang untuk berijtihad? Manji juga tidak membentangkan apakah metodologi yang digunakan untuk melakukan ijtihad? Manji hanya sibuk dengan launganmoral courage sebagai gagasan untuk menyatakan kebenaran kepada pihak berkuasa. Menurut Manji keberanian moral membenarkan setiap orang untuk mengetuk nuraninya, bagi menggantikan sikap pak turut dengan semangat individualiti serta mendekatkan diri dengan sumber yang telah menciptakan manusia dengan cara mengenali diri sendiri.
Lebih mengujakan, Manji terus menerus menyerang bertalu-talu golongan penentangnya yang disifatkan kelompok arus perdana yang ortodoks. Dalam halaman 67, Manji mengatakan, “Dalam jangkamasa beberapa generasi, pintu ijtihad semakin menyempit, terutama dalam lingkungan Sunni. Daripada 135 mazhab Sunni, hanya empat yang bertahan, masing-masing kurang lebih ortodoks”. Matinya pemikiran kritis mengabsahkan pembacaan yang kaku ke atas Quran. Para intelektual yang menentang fatwa berdepan dengan risiko besar. Hukuman berat, termasuk hukuman bunuh…”. Pada halaman seterusnya Manji menegaskan dia hanya mengajak semangat ijtihad diperluas dan tidak dibataskan hanya untuk para ahli akademik dan ahli teologi. Manji meminta supaya dibuang elitisme yang menghasilkan sejenis ketundukan di kalangan Muslim, iaitu ketundukan yang menyebabkan Muslim berhenti bersuara tentang dogma-dogma yang dipolitikkan dan yang ketinggalan zaman.
Manji nampaknya terlalu fobia dengan religious authoritarianism yang dianggap olehnya hanya dimonopoli oleh golongan ulama dan menutup pintu ijtihad. Soalnya pintu ijtihad mana yang telah ditutup itu dan pintu ijtihad mana pula yang ingin dibuka dan diseru oleh Manji? Manji perlu jelaskan hal ini secara eksplisit dan empirik supaya hujah-hujahnya ampuh dan kukuh. Jika tidak, Manji akan dilihat sekadar beretorik dengan slogan dan seruannya itu dan akhirnya ia akan menjadi dogma yang tidak beresensi dan substansi yang kukuh. Lalu ijtihad dan reformasi yang ingin dibawa oleh Manji itu tidak akan lari daripada acuan dogmatisme seperti yang dituduhnya kepada kelompok Islamo-tribalist.
Jika ditimbang atas neraca akademik, golongan arus perdana yang “ortodoks” itu kelihatan punya esensi dan substansi yang kuat untuk mempertahankan prinsip-prinsip ijtihad mereka. Definisi, ruang lingkup, kelengkapan dan metodologi ijtihadnya amat jelas. Punya foundation yang kukuh seperti juga dalam disiplin-disiplin ilmu duniawi yang lain. Rasionalnya, bagaimana mungkin orang yang tidak memiliki disiplin ilmu yang kukuh tentang kedoktoran boleh menjadi seorang doktor? Jika boleh pun, sekadar menulis dan berceramah dengan penuh retorik dan melemparkan idea-idea yang dogmatik. Tetapi jika dipersembahkan kepadanya seorang pesakit untuk dibedah, mampukah dia melakukan? Sudah tentu Manji tahu jawapannya.
Oleh kerana Manji tidak menyatakan secara jelas apakah ijtihad yang dimaksudkan serta metode yang digunakan, ia bukanlah suatu yang sukar untuk diduga kerana beberapa pemahamannya tentang ijtihad ada dikemukakan dalam bukunya. Misalnya, pada halaman 250, Manji menyebut,“Pemahaman dicapai menerusi penganalisaan, bukan pembersihan. Islam seharusnya halal sepenuhnya untuk dianalisa kerana yang disiasat bukan Tuhan, sebaliknya pentafsiran dan pemahaman manusia yang dipersoalkan. Dari sudut pandang ini, apabila Muslim bertolak-ansur dengan perasaan tersinggung mereka, mereka membiarkan analisis akhirnya di tangan Allah, seperti yang diperintahkan Quran”.
Seterusnya Manji mengulang dengan lebih nyata pada halaman 356-357, “Dengan memeluk ijtihad itu tidak bererti kita meninggalkan Islam, sebaliknya kita terus menetap dalam Islam dengan integriti. Iman membenarkan kita-sebenarnya ia menggesa kita-untuk bereksperimen. Quran berulangkali menggesa kita untuk berfikir, bernalar, mengkaji, merenung, membedah, dan berfikir semula, dengan jaring keselamatannya ialah kebenaran mutlak yang hanya diketahui Tuhan“.
Menerusi dua petikan ini, sudah cukup untuk menilai ijtihad yang dimaksudkan Manji. Iaitu mengerahkan seluruh akal fikiran untuk memahami Islam tanpa menilainya sama ada benar atau salah kerana kebenaran mutlak itu hanya diketahui oleh Allah SWT. Implimentasi terhadap kefahaman Manji ini boleh dilihat misalnya ketika dia berijtihad dalam memahami kedudukan pelaku homoseksual di dalam al-Qur’an.
Manji berkata pada halaman 167, “Saya agak tidak sedikit golongan Islamo-tribalist akan cuba mengalih perhatian anda dengan mendentumkan kata-kata “agenda gay Manji” dan melaungkan bahawa Quran membentak homoseksualiti. Izinkan saya terus menawarkan pandangan dengan mengutip ayat 3:7. Nah, sekali lagi anda mengabaikan ayat Quran yang sederhana yang menggesa kamu supaya tidak teruja dengan ayat-ayat yang samar. Kisah kaum Lut adalah samar. Kamu pasti bahawa kisah itu berkaitan dengan homoseksual, sedangkan ia kemungkinan berkaitan dengan lelaki-lelaki gay yang merogol lelaki-lelaki bukan gay yang lain sebagai cara untuk menunjukkan kuasa dan pengaruh mereka. Tuhan menghukum kaum Lut kerana menganggu laluan-laluan perdagangan, menumpuk kekayaan dan tidak menghormati orang luar. Perbuatan lelaki merogol lelaki mungkin diamalkan sebagai cara untuk menimbulkan ketakutan di kalangan para pengembara. Saya tak tahu secara pasti bahawa pandangan saya benar atau tidak. Namun, menurut Quran kamu juga tidak harus merasa pasti bahawa kamu benar. Nah, kalau kamu masih ghairah melaknat golongan homoseksual, bukankah ertinya kamu yang mempunyai agenda gay? Sementara itu, kamu masih belum menjawab pertanyaan saya tadi: bagaimana dengan kekufuran dalam hati kamu? Untuk berdepan dengan puak Islamo-tribalist anda perlu memberi tumpuan penuh kepada perintah Islam yang utama: bahawa Tuhan semata-mata, bukan pihak lain, yang memiliki kebenaran mutlak. Manusia tidak kira betapa garau suara kita atau betapa besar pangkat-gelaran kita hanya boleh menjadi pencari kebenaran”.
Kesimpulan Manji dalam isu ini, al-Qur’an tidak menyebut secara jelas tentang pengharaman homoseksual, semuanya samar-samar dan kebenaran yang mutlak perlu diserahkan kepada Allah SWT.
Menerusi kaedah ijtihad yang dilakukan Manji, dapat disimpulkan secara mudah, Manji sebenarnya tidak berijtihad tapi sekadar membuat spekulasi. Manji sepatutnya mengetahui kalimah ijtihad itu sendiri dari segi bahasanya bermaksud bersungguh-sungguh dalam sesuatu perbuatan atau pekerjaan. Namun dalam ijtihad Manji terhadap isu homoseksual,dia langsung tidak bersungguh-sungguh merujuk kepada keseluruhan ayat-ayat yang menyebut tentang kisah Nabi Luth. Adakah Manji telah membaca surah al-Syu’ara’ ayat 165-168:
“Patutkah kamu melakukan hubungan jenis dengan lelaki dari kalangan manusia. Dan kamu tinggalkan apa yang diciptakan oleh Tuhan kamu untuk kamu (melakukan hubungan yang halal) dari badan isteri-isteri kamu? (kamu orang-orang yang bersalah) bahkan kamu adalah kaum yang melampaui batas (keinginan kebanyakan haiwan)!” Mereka menjawab: “Sesungguhnya jika engkau tidak berhenti Wahai Lut (daripada mencaci dan menyalahkan kami), nescaya Engkau akan diusir keluar!” Nabi Lut berkata: Sesungguhnya aku dari orang-orang yang bencikan perbuatan kamu yang keji itu”.
Adakah ayat yang sebegini terang dan jelas di dalam al-Qur’an yang diakui oleh Manji masih kelihatan samar? Jika masih samar, itu bermakna Manji yang memiliki penglihatan yang samar bukan ayat al-Qur’an itu yang jelas menempelak dan menegah daripada perbuatan keji homoseksual. Walaupun mungkin hukuman peliwat tidak disebut seperti hukuman penzina, ia tetap dilarang dan hukuman akhirat pasti menanti. Seperti kata seorang sarjana Muslim kontemporari, Taha Jabir al-’Ulwani, “Walaupun al-Qur’an tidak menjelaskan secara eksplisit tentang hukuman tersebut, namun ayat-ayat tersebut jelas meletakkan homoseksual sebagai satu perbuatan yang haram dan hukuman di akhirat perlu lebih ditakuti daripada hukuman undang-undang (di dunia)”. (Islam’s stance on homosexual organizations. Lihat dalam www.onislam.net)
Apa yang menjadikan ijtihad Manji sebegitu tempang adalah kerana kerangka pemikirannya yang meletakkan relativisme sebagai asas utama. Dengan fahaman relativisme, Manji dan sekutunya akan mengatakan kebenaran adalah relatif dan tidak boleh didakwa oleh mana-mana pihak. Dengan penolakan ini, ia menjadi modal untuk menuntut kebebasan berpendapat atau berijtihad semahunya. Di tambah pula dengan merujuk kepada karya-karya Orientalis-Kristian atas dasar para orientalis itu dianggap memiliki autoriti yang lebih kritis dalam mengemukakan pendekatan yang lebih rasional dan berlainan. Bertolak dari premis ini, Manji tersilap apabila menggunakan pendekatan puak Orientalis-Kristian iaitu hermeneutika Bible yang manusiawi itu terhadap teks al-Qur’an yang suci. Manji perlu tahu bahawa dia bukan lagi berijtihad pada tafsiran al-Qur’an atau teks al-Qur’an yang kabur, tetapi dia sedang berijtihad pada kalam Allah SWT yang maha jelas!
Jika teks al-Qur’an yang jelas tentang larangan homoseksual boleh ditolak mentah-mentah olehnya, maka ijmak langsung tiada nilainya bagi Manji bahkan dianggap sebagai khayalan semata. Manji menyebut pada halaman 153, “Selepas saya berbicara tentang menghidupkan semula ijtihad, iaitu semangat pemikiran kritis dalam Islam, sarjana berkenaan mencapai mikrofon dan menyokong gesaan saya dengan satu pengecualian: iaitu bahawa bagi beberapa perkara penting telah ada “kesepakatan Islami” (ijmak). Saya katakan kepadanya bahawa apa saja “kesepakatan” yang ada akan kekal bersifat khayalan selagi hanya segelintir Muslam yang merasa selamat untuk bersuara, sedangkan sebahagian besar Muslim lagi belum mampu mengumpul keberanian untuk menyatakan pandangan mereka”.
Manji mungkin terlupa, dengan menafikan ijmak, secara tidak langsung dia juga telah menafikan al-Qur’an. Adakah dia tahu bahawa kandungan al-Qur’an yang sampai kepada kita pada hari ini diperakui secara ijmak oleh para ulama akan kesahihannya sebagaimana yang mula-mula sampai kepada Rasulullah SAW. Jika Manji juga menerima al-Qur’an yang dirujuk dan dibaca itu adalah al-Qur’an yang asli, bermakna dia juga menerima ijmak. Tetapi jika tidak, adakah Manji ingin berijtihad untuk meneliti isi kandungan al-Qur’an yang dibaca oleh seluruh umat Islam di dunia itu asli? Benar, Manji mungkin mampu meneliti isi kandungan al-Qur’an yang wujud pada zaman ini, tetapi bagaimana isi kandungan al-Qur’an pada kurun-kurun yang terdahulu? Bukankah ijmak yang menjamin ianya terpelihara seperti tegasan al-Qur’an dalam surah al-Hijr ayat 9. Manji benar-benar keliru dan tidak tahu di mana batas ijtihadnya.
Menghina al-Qur’an dan Rasulullah SAW
Dalam halaman 120, Manji telah menghina Rasulullah SAW dan berdusta atas nama Imam al-Tabari dengan mengatakan, “Ahli sejarah Muslim al-Tabari menceritakan bahawa Baginda mahu membunuh diri dengan terjun dari bukit daripada menyebarkan sebuah risalah yang akan menyebabkannya kedengaran seperti orang sasau”.
Perlu ditegaskan tidak wujud sama sekali riwayat seperti yang dinukilkan oleh Manji kecuali ianya dinukil daripada buku-buku orientalis yang telah memutarbelitkan karangan para ulama. Dakwaan Manji ini mungkin merujuk kepada sebab turun surah al-Dhuha. Ia seperti yang dijelaskan oleh al-Tabari bahawa ayat ini diturunkan sebagai penolakan Allah SWT terhadap dakwaan kafir Quraisy yang mengatakan bahawa Muhammad telah ditinggalkan Tuhannya. (Tafsir al-Tabari, j. 30, hal. 231)
Menurut Muhammad ‘Abduh, perbuatan Rasulullah SAW naik ke gunung seperti yang terkandung dalam beberapa riwayat adalah kerana Nabi SAW sudah teramat rindu dengan kehadiran wahyu setelah merasakan manisnya berhubungan dengan wahyu Ilahi sebelumnya. Setiap kerinduan itu melahirkan kegelisahan, setiap kegelisahan melahirkan rasa takut. Rasa takut ini dialami oleh setiap manusia. Sedang, Rasulullah SAW adalah manusia biasa yang hanya berbeza dengan manusia lain dari segi perolehan wahyu semata-mata, sebagaimana ditegaskan Allah dalam banyak tempat di dalam al-Qur’an, seperti firman-Nya: Aku hanyalah seorang manusia seperti kamu (tetapi) yang mendapat wahyu. (Tafsir Juzz ‘Amma, hal. 109)
Justeru tidak timbul dakwaan kononnya Nabi SAW ingin membunuh diri kerana ingin lari daripada tanggunjawabnya menyampaikan dakwah, malah dakwaan ini hanyalah tokok tambah daripada penulis yang dinukil oleh Manji tanpa sebarang usul periksa.
Pada halaman 121, Manji terpengaruh pula dengan pandangan orientalis yang mengatakan Nabi Muhammad SAW telah mengubah kalimah “rabb” kepada “Allah”, iaitu kata nama yang biasa digunakan oleh penyembah berhala Quraisy. Dakwaan ini adalah biadap kerana penggunaan nama “Allah” dan “rabb” kedua-duanya digunakan di dalam al-Qur’an dan bukan ciptaan hawa nafsu Rasulullah SAW. Menuduh Nabi SAW sebagai pereka nama tuhan adalah sama dengan meragui kesucian al-Qur’an, sekaligus menuduh al-Qur’an itu hanyalah kalam Muhammad dan bukan wahyu daripada Allah.
Manakala dalam halaman 122, 123 dan 125, Manji telah menukilkan tentang kisah ayat-ayat syaitan. Antaranya Manji mengatakan, “Setelah itu terjadi peristiwa “ayat-ayat setan.” Nabi tersalah menilai beberapa ayat sebagai wahyu Tuhan dan lalu menyampaikannya kepada para sahabat baginda. Tetapi setelah itu baginda menyedari bahawa ayat-ayat itu mengagungkan berhala-berhala pagan. Muhammad kemudian menarik balik ayat-ayat itu, dan menyalahkan syaitan atas kesalahan yang dilakukannya”.
Ungkapan di atas adalah satu pembohongan terhadap Rasulullah SAW. Para ulama hadith telah mendaifkan sanad dan matan riwayat yang menyebut tentang kisah ini. Ianya tidak sah dari segi syarak dan akal sekalipun. Ibn Khuzaimah mengatakan hadith yang menyebut tentang Rasulullah SAW telah melafazkan ayat-ayat syaitan adalah direka oleh golongan zindiq. Ibn al-‘Arabi pula mengatakan ianya batil dan tidak berasas. (Samt al-Nujum al-’Awali, j.1, hal. 327) Al-Qadhi ‘Iyadh membantah riwayat ini dengan berhujah bahawa jika ia benar-benar berlaku maka ramai umat Islam telah murtad (pada ketika itu), sedangkan syaitan tidak ada ruang dan kuasa ke atas hamba-hamba Allah yang ikhlas, lebih-lebih lagi ke atas Nabi SAW kerana Nabi SAW itu maksum (terpelihara) daripada menambah atau mengurangkan wahyu. (Fath al-Bari, j.8, hal. 439)
Kalaupun kita mahu menerima juga riwayat tersebut, Ibn Kathir telah memberikan penjelasan dengan mengatakan bahawa yang menyebut kalimah itu bukanlah Baginda SAW tetapi iblis sendiri, lalu ia diperdengarkan kepada telinga-telinga orang musyrikin sehingga mereka mereka menyangka ianya datang daripada Rasulullah SAW. (Tafsir Ibn Kathir, j.3, hal. 230-231) Peristiwa ini kemudiannya menjadi sebab turunnya surah al-Hajj ayat 52-53:
“dan tidaklah Kami mengutuskan sebelummu seorang Rasul atau seorang Nabi melainkan apabila ia membaca (wahyu), maka syaitan pun melemparkan (hasutan) pada bacaannya; oleh itu, Allah segera menghapuskan apa yang telah diganggu oleh syaitan, kemudian Allah menetapkan ayat-ayat-Nya dengan kukuhnya; dan Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana. (Yang demikian) kerana Allah hendak menjadikan hasutan syaitan itu sebagai satu fitnah cubaan bagi orang-orang yang ada penyakit kufur ingkar dalam hati mereka, dan yang hatinya keras membatu; dan sesungguhnya mereka yang zalim itu sentiasa berada dalam pertentangan yang jauh dari kebenaran”.
Ini bermakna Allah SWT sendiri telah membersihkan tuduhan terhadap Nabi SAW, kerana apa yang terjadi itu adalah berpunca daripada iblis laknatullahi ‘alaih. Oleh itu, dakwaan Manji bahawa Nabi SAW telah khianat dan dengan sengaja menurut kehendak kaumnya untuk dilihat lebih sesuai dengan agama berhala adalah suatu pendustaan dan penghinaan terhadap Rasulullah SAW.
Persoalan lain yang lebih penting  di sini, bagaimana Manji boleh menuduh Nabi Muhammad SAW yang menarik balik ayat-ayat syaitan itu. Bukankah dalam ayat di atas, Allah SWT sendiri yang telah menghapuskan ayat-ayat tersebut lalu membersihkan Nabi SAW, atau Manji sebenarnya menganggap al-Qur’an ini dikarang sendiri oleh Nabi SAW? Perhatikan sekali lagi ayat Manji ini, “Muhammad kemudian menarik balik ayat-ayat itu, dan menyalahkan syaitan atas kesalahan yang dilakukannya”. Siapa yang menarik balik, Allah SWT atau Nabi Muhammad? Apa pun kenyataan Manji ini mungkin ada kena mengena dengan pendiriannya yang mengatakan para nabi tidak maksum daripada melakukan kesalahan seperti yang disebut pada halaman 76.
Dekonstruksi syariah Islam atas nama kebebasan beragama termasuk kebebasan murtad
Manji berkata dalam bukunya dalam halaman 25, “Muslim dan bukan Muslim yang hidup di negara-negara demokrasi harus membangunkan kekuatan untuk mengembangkan kebebasan individu, bukan merencatkannya, kerana tanpa kebebasan untuk berfikir dan bersuara takkan pernah ada integriti diri sendiri atau integriti masyarakat”.
Dalam satu komentar terhadap emel yang diajukan kepadanya Manji pada halaman 99, dia mengulas, “Tareq memilih integriti yang dinyalakan oleh keimanan daripada jatidiri yang dihulurkan oleh dogma. Jatidiri sebuah agama yang dilembagakan menghargai orang yang berada di dalam kelompok, manakala integriti sebuah keimanan yang peribadi mengutamakan perhubungan seseorang individu dengan Tuhan. Bagaimana Muslim-atau siapa saja-dapat memerangi cara fikir berkelompok yang melahap integriti individu?”
Bagi Manji, kebebasan individu adalah suatu integriti yang perlu dipertahankan. Tiada kebebasan bermakna tiada integriti atau keikhlasan dan kejujuran. Hal ini dijadikannya sebagai matlamat utama dalam pengabdian diri kepada Tuhan. Pemikiran Manji ini cenderung kepada fahaman humanisme dan rasionalisme kerana akhirnya perkara yang akan dipertuhankan atau diabdikan adalah akal manusia itu sendiri. Sedangkan Allah SWT telah mengutuskan al-Qur’an dan Rasul-Nya sebagai panduan manusia dalam menguruskan kebebasan hawa nafsu dan fikirannya. Sabda Rasulullah SAW:
“Tidak beriman seseorang kamu hinggalah hawa nafsu tunduk kepada apa yang aku bawa (wahyu)”. (Riwayat al-Nawawi dalam al-Arba’in al-Nawawiyyah)
Bukti kebebasan mutlak yang diperjuangkan oleh Manji adalah apabila dia sanggup memutarbelitkan kenyataan Mufti Mesir, Syeikh Ali Jum’ah yang dikatakan kononnya beliau mengharuskan murtad.
Manji menyebut pada halaman 138, “Maksud keanekaragaman di sini: setahun sebelum imam Muslim di Harvard itu menjadi bahan berita, keputusan mengejutkan tentang murtad dan pilihan telah muncul dalam dunia Muslim. Mufti Mesir, Syeikh Ali Gomaa, merumuskan bahawa seseorang itu boleh memeluk agama lain dan tidak ada kuasa duniawi yang berhak untuk menghukum seorang bekas Muslim kerana meninggalkan Islam. Tuhan boleh sahaja menghukumnya, tetapi anda dan saya tidak boleh”.
Dakwaan Manji kononnya Mufti Mesir, Syeikh Ali Jum’ah telah membenarkan murtad adalah suatu pendustaan Perkara ini telah dijawab dan diperbetulkan di dalam laman web Dar al-Ifta’ Mesir bahawa Mufti Mesir mengakui murtad adalah satu dosa besar. Orang yang melakukan murtad juga dianggap telah keluar daripada peraturan umum dan satu bentuk jenayah yang wajib dikenakan hukuman.
Dalam hal ini, ada baiknya Manji merujuk kepada satu kes yang berlaku di Mesir. Badan kehakiman Mesir  telah  meminta  fatwa  daripada  Universiti  al-Azhar  berkenaan  permohonan bekas penganut Kristian Koptik yang masuk Islam hanya untuk kepentingan peribadi, seperti ingin berkahwin buat kali kedua atau menceraikan isteri (yang mana ditegah menurut agama mereka), dan setelah tujuannya tercapai ia murtad dan kembali ke agama asal.
Justeru itu, Universiti al-Azhar melalui bekas Ketua Lajnah Fatwa al-Azhar, Syeikh Abdul Hamid al-Athrash telah mengeluarkan fatwa rasmi bahawa orang bukan Islam yang memeluk Islam untuk kepentingan peribadi, lalu ia murtad setelah kepentingannya tercapai, telah melakukan suatu jenayah besar, yang tidak boleh dibiarkan. Sesiapa yang murtad, maka wajib baginya menerima  hukuman syar’i, sesuai dengan batas- batas yang ditetapkan jumhur ulama, setelah yang berkenaan diminta bertaubat. Jika ada yang mengatakan bahawa hal ini bertentangan dengan ‘prinsip kebebasan beragama’, maka pandangan itu tertolak, kerana Islam tidak memaksa sesiapa jua untuk memeluk agama ini.
Pada halaman 171, Manji mengomentari pendiriannya tentang pemakaian tudung. Katanya, “Hijab bukannya tudung kepala yang Islamik bagi wanita; ia adalah tudung kepala yang diwajibkan menurut hukum kehormatan pra-Islam tetapi dianggap sebagai kewajipan agama oleh puak Islamo-tribalist sepertinya ayahnya”.
Selanjutnya pada halaman 173 dia berkata, “Saya memberitahu rakan-rakan emel saya bahawa hijab berasal daripada budaya yang wujud sebelum Islam. Quran hanya menyeru wanita dan lelaki untuk berpakaian sopan. Jadi tidak sopankah kalau kita memakai baju berlengan panjang? Dan kalau wanita wajib menutup rambutnya kenapa tidak dengan topi baseball, kalau dia mahu begitu? Tapi, kenapa dia mesti wajib menutup rambutnya? Kalau lelaki Muslim bimbang merasa teransang, kenapa tidak lakukan menurut anjuran Quran iaitu memandang ke bawah selama yang perlu untuk mengawal hormone mereka? Mengapa hanya perempuan saja yang perlu mengambil langkah pencegahan?
Manji turut mempertikaikan hukum berjabat tangan dengan bukan mahram. Dia mengulas pada halaman 161, “Begitu juga dengan lelaki Muslim di Sweden yang enggan berjabat tangan dengan seorang CEO wanita kerana Islam. “Tidak”, dia boleh katakan kepadanya, “bukan kerana Islam”. Itu kerana budaya puak kamu. Islam mampu menampung lebih banyak ragam berbanding yang kamu tonjolkan. Sebagai seorang Muslim seharusnya kamu juga mampu menampung banyak ragam.
Tuduhan bahawa hijab adalah pakaian zaman pra-Islam adalah dakwaan lapuk golongan orientalis Barat. Hujah kononnya semua wanita pada zaman tersebut sama ada Islam mahupun bukan Islam memakai tudung juga langsung tidak benar. Malah wanita jahiliyyah amat terkenal dengan sifat mereka yang gemar mendedahkan tubuh persis wanita pada zaman ini. Dalam surah al-Nur ayat 31 Allah SWT menegaskan bermaksud, “Hendaklah mereka menutupkan kain tudung ke dadanya dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya kecuali kepada suami mereka, atau ayah mereka…”. Menurut al-Qurtubi, ayat ini menyebut supaya tudung dilabuhkan hingga ke dada kerana wanita di zaman jahiliyyah gemar memakai tudung dengan cara hanya melepaskannya ke belakang tubuh. Ini menyebabkan bahagian atas dada, tengkuk dan kedua telinga terdedah. Lalu Allah SWT memerintahkan supaya tudung itu dipakai sehingga menutupi dada mereka. (Tafsir al-Qurtubi, j.12, hal.230)
Kesimpulannya, pandangan Manji berkenaan tudung dan larangan berjabat tangan dengan bukan mahram jelas adalah suatu penghinaan kepada syariah Islam kerana kewajipan memakai tudung dan larangan berjabat tangan dengan bukan mahram terkandung di dalam al-Qur’an dan al-Hadith serta bukan sekali-kali daripada pengaruh kebudayaan atau tradisi tertentu. Manji seolah-oleh lupa kepada nas-nas al-Qur’an dan al-Hadith sebaliknya mengkritik semua bentuk amalan syariah yang dilakukan oleh Muslim atas alasan ianya budaya dan tradisi semata-mata.
Mempromosikan fahaman sekularisme
Di bahagian lain dalam bukunya, Manji secara terang-terangan mengaku memperjuangkan faham sekularisme. Malah Manji mengaku dia telah menandatangani petisyen Manifesto of 12 untuk menyokong sekularisme yang kebanyakannya dianggotai oleh penganut ateis selain daripada Salman Rushdie dan Ayaan Hirsi Ali. Antara kandungan dokumen itu ialah, “Setelah menundukkan fasisme, Nazisme dan Stalinisme, dunia sekarang berdepan dengan ancaman totalitarian sejagat yang baru: Islamisme…”.
Dokumen itu jelas menunjukkan penentangannya yang utama terhadap Islam, tetapi Manji mengatakan pada halaman 243, “Saya boleh menggunakan manifesto itu untuk mendidik orang-orang yang ragu daripada Muslim sampailah kepada wartawan-wartawan tentang mengapa sekularisme dan keimanan dapat dipertahankan pada masa yang sama. Kepelbagaian kepercayaan hanya dapat menjadi subur dalam masyarakat sekular. Nilai-nilai sekular membuka ruang untuk semua kita beribadat menurut suara nurani peribadi kita…Pada tahapnya yang terbaik sekularisme baik untuk keimanan dan buruk untuk dogma”.
Manakala di penghujung bukunya Manji meninggalkan pesanan pada halamaan 372, “Saya mempunyai tiga lagi petua untuk membolehkan anda mengambil jalan Islam yang lebar sekarang. Pertama, lawati irshadmanji.com dan tandatangani petisyen menyokong nilai-nilai sekular, dan jangan lupa untuk memasukkan nama Bandar dan negara anda”.
Manji cuba merosakkan nilai-nilai aqidah dan syariah Islam dengan mencampuradukkan Islam dengan fahaman sekularisme. Tidakkah Manji tahu bahawa seperti kata Shiner dalam jurnalnya, The Concept of Secularization in Empirical Research, dia menghuraikan pengertian sekularisme ini kepada enam perkara; kemerosotan agama, pemindahan orientasi perhatian manusia dari dunia lain kepada dunia ini, kerenggangan masyarakat daripada agama, peralihan kepercayaan dan aktiviti suci kepada sekular semata-mata, dunia secara beransur-ansur akan hilang ciri-ciri sakralnya di mana akhirnya manusia tidak percaya kepada kekuasaan Tuhan (Humanisme) dan pembaharuan masyarakat kudus kepada masyarakat sekular. Jika ini menjadi perjuangan Manji, apa gunanya lagi Manji memeluk Islam? Bukankah lebih baik Manji bertukar menjadi ateis iaitu golongan majoriti yang menandatangani Manifesto of 12 itu?
Bahkan tiada titik pertemuan antara Islam dan sekularisme kerana faham sekularisme akan meletakkan agama hanya sebagai anutan ritual semata-mata dan menafikan agama untuk bernegara dan mengurus dunia.
Ia seperti kata Manji pada halaman 148, “Yang Maha Perkasa tidak memerlukan politik sebagai alat pencegah; hanya mereka yang melantik diri sendiri sebagai duta-duta Tuhan yang memerlukan alat pencegah. Para penggubal undang-undang Ireland seperti juga OIC telah memfitnah Tuhan yang mampu menampan sendiri tujahan keraguan manusia”.
Manji jelas terpengaruh dengan pemikiran sekularisme Barat apabila menafikan keperluan politik dalam mentadbir urusan agama. Beliau dilihat amat mengagung-agungkan demokrasi liberal Barat yang mementingkan kebebasan individu tanpa terikat kepada ajaran agama.
Meruntuhkan syariat solat
Apabila diajukan suatu soalan berkenaan solat, Manji di halaman 357-359 dengan bangga menulis seperti berikut, “Biar saya mulakan apa maksud bersembahyang? Seperti disebutkan Sultan Abdulhameed, “Suatu hakikat yang menonjol Quran tidak menyatakan bentuk sembahyang. Quran menegaskan kita perlu sembahyang tetapi secara konsisten mengelak daripada menentukan kaedah melakukannya. Malangnya idea bahawa sembahyang boleh dibuat secara spontan atau ceria telah menjadi “hampir sesat”…seseorang bernama Abdullah mengirim emel kepada saya: “Jadi kamu menganggap diri kamu sebagai Muslim bukan? Saya tertanya-tanya, berapa kali kamu sembahyang sehari? Saya membalas, “10, 12 kadang-kadang 15 kali. Kamu? Saya tidak menerima sebarang respons…menurut Quran, mereka tidak perlu menerima hanya satu gaya sembahyang”.
Perbuatan ini adalah bid’ah sesat yang direkayasa oleh Manji. Menafikan kaifiat solat bermakna menafikan sunnah Baginda SAW. Menafikan sunnah Rasulullah SAW juga menafikan al-Qur’an kerana Allah SWT sendiri memerintahkan supaya menerima apa sahaja yang diperintahkan oleh Nabi SAW. Allah SWT berfirman dalam surah al-Hasyr ayat 7:
“…apa jua perintah yang dibawa oleh Rasulullah (s.a.w) kepada kamu maka terimalah serta amalkan, dan apa jua yang dilarang-Nya kamu melakukannya maka patuhilah larangan-Nya, dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah amatlah berat azab seksa-Nya (bagi orang-orang yang melanggar perintah-Nya)”.
Jika benar Manji mendakwa dirinya berpegang kepada al-Qur’an, sepatutnya dia juga perlu patuh dengan sabda Rasulullah SAW dalam hadith yang sahih: “Solatlah kamu sebagaimana kamu melihat aku solat”.
Kesimpulan
Amat mendukacitakan, individu seperti Manji, hanya menulis bersandarkan bahan-bahan rujukan yang rapuh dan khayalan yang menerawang tanpa metodologi akademik yang kukuh. Buku-buku orientalis dan latar belakang dirinya yang mungkin dibayangi oleh male chauvinism dijadikan landasan untuk menuntut kebebasan dan keluar daripada kerangka agama yang sebenar. Seruan Manji kononnya mahu melakukan “ijtihad” atau “reformasi” terhadap Islam adalah pendustaan semata-mata. Jelas, Manji sekadar mahu  meruntuhkan agama Islam dan segala isi kandungannya lalu mendirikan agama baru di atas runtuhan itu. Oleh yang demikian, adalah amat wajar pendukung-pendukung liberalisme dan pluralisme agama seumpama ini disekat dan diharamkan terus dari menjejaki bumi Malaysia tercinta.
Wallahu a’lam.