Selasa, 31 Ogos 2010

Merdeka, Merdeka, Merdeka!

Hari ni adalah hari kemerdekaan bagi negara yang kita cintai "Malaysia". Pada saya negara ini dirahmati oleh Allah maha esa. Selama 53 tahun, Malaysia telah mencapai kemakmuran yang turut dicemburui oleh negara lain.

Kenapa makmur?...kerana kita dikurniakan para pemimpin yang bijaksana dan sudah tentu rakyat yang bijak memilih pemimpin turut menyumbang kepada proses kemakmuran ini. Saya berdoa agar negara Malaysia ini terus Cemerlang, Gemilang dan Terbilang!

Selasa, 17 Ogos 2010

Presiden SP Setia: 'Adakah Cina dilayan dengan Buruk?'

### Diharap artikel ini ikhlas agar menjamin kehidupan harmoni dalam negara. Keadilan itu bukan dilihat dari segi sama rata sahaja. Sama rata boleh dilaksanakan dalam negara kalu semua warga menganut Agama satu sahaja iaitu ISLAM...TITIK! ###

KUALA LUMPUR, 14 Ogos — Pemaju hartanah utama Tan Sri Liew Kee Sin mempersoalkan kewajaran rungutan masyarakat Cina bahawa mereka tidak dilayan adil oleh kerajaan, sambil menekankan kaum itu telah menikmati kedudukan baik di sebalik persekitaran dasar pro-Bumiputera.

Liew (gambar), yang syarikatnya SP Setia Bhd merupakan pemaju Putrajaya — projek pembangunan terbesar di Malaysia berkata, terdapat lebih banyak firma dikawal kaum Cina berbanding syarikat-syarikat milik Bumiputera di Bursa Malaysia.

“Secara statistik, majalah Forbes menunjukkan masyarakat Cina-Malaysia telah boleh berjaya sepanjang 30 tahun lalu,” kata beliau Presiden dan Ketua Eksekutif SP Setia ini.

Menurut Forbes, syarikat-syarikat dikuasai Cina mewakili 37 peratus pasaran modal di antara 100 syarikat Malaysia yang disenaraikan, berbanding tujuh peratus kalangan orang Melayu.

Individu kaum Cina juga menguasai 73 peratus kekayaan yang dimiliki 40 orang terkaya di Malaysia dan lapan dari setiap 10 orang kaya adalah Cina.

“Adakah kita dilayan dengan buruk?” kata Liew.

Beliau juga menekankan bahawa usahawan kecil dan sederhana juga merekodkan prestasi yang baik dan pemilik-pemiliknya mampu memiliki banglo berjuta ringgit yang dibina syarikatnya.

“Ada seorang Cina yang mahu membina banglo RM40 juta,” katanya.

“Itu adalah kekayaan. Dari mana kekayaan itu datang? Kekayaan ini datang dalam 30 tahun lalu ketika pelaksanaan DEB (Dasar Ekonomi Baru)

Beliau mengetengahkan hujah ini pada Kongres Ekonomi Cina yang bertemakan “Peranan Masyarakat Cina Dalam Mencapai Matlamat Model Baru Ekonomi (MBE) dan Rancangan Malaysia Ke-10 di sini hari ini.

Liew juga berhujah bahawa kehadiran syarikat-syarikat berkaitan dengan kerajaan (GLC) dalam pasaran bermakna perniagaan kaum Cina juga tiada pilihan kecuali menggunakan kepakaran dan dana Melayu jika mahu meningkatkan pulangan mereka dalam jangka panjang.

“Hari ini, kerajaan mempunyai wang menerusi GLC... mereka boleh membeli bangunan anda, mereka boleh membeli pasar raya anda, memiliki pasar raya besar anda, pusat membeli-belah daripada anda. Yang ini akan memberikan sumber pendapatan yang besar,” katanya.

“Kini terpulang kepada kita. Adakah kita hendak menggunakan kepakaran, keupayaan kewangan mereka? Adakah kita hendak menggunakan rangkaian mereka?” soal beliau.

Bagaimanapun Liew menekankan bahawa kerjasama Melayu-Cina memerlukan semangat sedia memberi dan menerima.

Jelas beliau, sebelum meminta mereka memberikan lebih banyak dasar liberal, masyarakat Cina harus membenarkan mereka menyertai sektor yang dikuasai sekarang.

“Jika tidak, kerjasama ini tidak akan wujud. Mereka tidak akan membenarkan kita,” katanya.

Tegas beliau, jika masyarakat Cina mahu mengambil kek yang besar daripada MBE, masyarakat Cina mesti belajar untuk memberi.

“Kita mesti belajar untuk mengambil satu langkah ke belakang. Kita juga harus belajar untuk hidup bersama budaya, pemikiran mereka,” katanya lagi.

Jelas beliau, orang Melayu masih bimbang bahawa rakan niaga Cina akan membunuh perniagaan mereka jika tiada dasar pro-Bumiputera yang melindungi kaum tersebut.

Terperangkap pemikiran sendiri

### Rencana yang baik dan penuh dengan maknanya yang perlu difahami oleh setiap Warga. Untuk renungan dan lu Tebalfikirla sendiri! ###

Terperangkap pemikiran sendiri

Apabila membaca pelbagai blog melalui internet saya terasa dunia begitu sempit. Bukan sahaja di Malaysia, di mana-mana juga suara-suara kasar tidak berpuas hati dengan itu dan ini dituliskan secara tali-menali.

Di negara Malaysia juga demikian. Blog-blog anak-anak muda terpancar suara-suara pemberontakan, rungutan, kekesalan dan pelbagai lagi yang seolah-olah dunia di keliling menzalimi mereka tidak henti-henti.

Terbaru rakan saya, Datuk Azman Ujang, mengirim e-mel tentang seorang bekas warganegara Malaysia keturunan Cina yang menyuarakan kebenciannya kepada kerajaan UMNO dan secara sinis menyimpulkan usaha menyeru warga profesional di luar negara untuk pulang hanya suatu bahan jenaka.

Mengapa jadi demikian. Benarkah dunia kemanusiaan semakin zalim sama seperti alam semula jadi yang sedang memberontak terhadap manusia kerana manusia merosakkan mereka, lalu bumi pun memuntahkan lahar gunung berapi, angin mengamuk menjadi taufan, lautan merempuh daratan dan matahari membakar bumi?

Dalam konteks ini, pada tahun 1980-an saya telah menulis bahawa sama ada manusia sedang merosakkan bumi atau tidak hanyalah suatu 'makna' yang dicipta oleh segolongan manusia itu sendiri. Sementara pada makna sains fizik, hal itu hanyalah penukaran suatu bentuk kepada suatu bentuk yang lain.

Maklumlah, sebagai contoh, sains fizik thermodinamik mengatakan 'tenaga itu tidak boleh dicipta atau ditambah dan tenaga hanya boleh diubah bentuknya'. Fizik thermodinamik tidak akan mengatakan manusia zalim kerana mengubah air menjadi tenaga penggerak enjin.

Apa yang saya cuba utarakan di sini ialah, yang disuarakan oleh segolongan orang yang saya sebutkan awal-awal tadi merupakan 'makna' yang diberikan oleh terhadap perkara, kejadian atau fenomena yang mereka rasakan berkaitan dengan diri mereka.

Mereka sememangnya mempunyai banyak pilihan untuk memberi 'makna' namun mereka telah memilih satu makna sahaja. Oleh hanya pilih satu makna sahaja itulah orang Yahudi memilih untuk berperang dengan orang Palestin, orang India dan Pakistan memilih untuk berkonfrantasi berterusan, Bosnia dan Serbia bermusuhan, Korea Utara dan Korea Selatan menunjuk lengan masing-masing walaupun mereka asalnya mungkin serumpun - nenek moyang mereka sama.

Demikianlah, Melayu, Cina dan India di Malaysia mula belajar menunjukkan otot masing-masing walaupun dulunya pada tahun 1955 pernah berjanji setia sehingga tercapainya peristiwa 1957.

Dalam himpunan Melayu pula UMNO, Pas, PKR masing-masing berlumba-lumba mempamer personaliti siapa yang lebih menarik dan menggoda supaya golongan bukan Melayu akan tertarik untuk 'berpacaran' dengan mereka. Padahal, UMNO, Pas dan PKR itu asal sejarahnya satu.

Patutlah pementasan cerita-cerita bangsawan tahun 1950-an dan 1960-an dan cerita-cerita filem Shaolin Cina selalu memaparkan tema bagaimana sengketa dua pahlawan yang saling bermusuhan asalnya datang dari gelanggang perguruan persilatan yang sama, walaupun telah dibekalkan dengan nasihat secukupnya supaya menjaga nama baik guru atau temple yang satu dengan tidak bersengketa sesama sendiri. Itulah suatu paparan budaya.

Dengan memilih makna persaingan: persaingan dengan alam, persaingan dengan mesin atau persaingan sesama manusia, orang itu sentiasa melihat dirinya berada dalam keadaan terancam.

Satu komuniti merasa diancam oleh komuniti yang lain, ketua terasa diancam oleh anak buahnya, kawan rasa diancam oleh kawan yang lain sehingga keseluruhan makna kehidupan adalah dalam bentuk memenangi suatu persengketaan.

Tersembunyi dalam diri adalah rasa ketakutan. Walaupun keberanian adalah lawan kepada ketakutan namun segalanya adalah bermula daripada rasa ketakutan - takut kekurangan, takut kehilangan dan akhirnya takutkan kematian.

Makna yang diberikan orang yang tidak takut akan berbunyi, 'yang kurang diusahakan untuk ditambah; yang hilang dicari; dan kematian adalah melengkapkan kehidupan'. Mereka tidak melihat setiap dualisme adalah persaingan.

Manusia yang tidak melihat segala-galanya persaingan adalah manusia yang tidak takut. Manusia yang tidak takut ialah manusia yang memberi nilai tinggi kepada 'autonomi'. Warganegara yang menilai tinggi kepada autonomi ialah warganegara yang mengatakan maju-mundur dirinya adalah tanggungjawab dirinya sendiri. Dia tidak akan memaksa orang lain mesti memihak atau memenuhi kehendaknya dan jika terjadi keadaan orang memihak kepadanya, itu hanya suatu kebetulan.

Seorang guru tidak memaksa murid untuk taat kepadanya. Seorang ketua tidak menagih kesetiaan daripada yang diketuainya. Seorang bapa tidak meminta-minta anak dan isteri menghormatinya. Jika semua itu diperolehinya, juga adalah suatu kebetulan.

Demikianlah jika anak-anak muda di Malaysia menuntut autonomi daripada orang tua-tua, mereka juga hendaklah membenarkan orang tua mentafsirkan keadaan dan kuasa mengikut makna mereka. Orang tua pula hendaklah tidak memaksa anak muda memberi makna kepada sesuatu perkara, kejadian atau fenomena dengan makna yang sama dengan mereka. Berilah makna kepada zaman masing-masing dan jika kebetulan makna itu sama, ia adalah satu 'hadiah'.

Kembali kita kepada e-mel kiriman Azman Ujang tentang bekas warganegara Malaysia yang nampaknya tidak sudi untuk pulang, setelah semenjak umur 18 tahun berada di Amerika Syarikat. Ini kerana katanya, tidak adanya keadilan di Malaysia, tidak berautonomilah kiranya saya seorang Melayu memaksa beliau mengubah pendirian beliau.

Saya menghormati pendiriannya kerana saya tahu, beliau memilih untuk memberi satu makna sahaja kepada kehidupan di Malaysia. Beliau tidak mendapat biasiswa dari kerajaan Malaysia sebaliknya memperolehi biasiswa dari negara beliau sekarang melalui program Suruhanjaya Pertukaran Pendidikan Malaysia-AS (MACEE) walaupun beliau mengatakan pencapaian peperiksaan beliau amat cemerlang.

Juga, tidak sesuailah saya yang sangat menghormati 'autonomi' manusia mengungkit bahawa MACEE berada di Malaysia kerana kerajaan Malaysia menyediakan suasana yang kondusif kepada agensi Amerika Syarikat itu beroperasi di sini sehingga peluang untuk penulis e-mel itu terbuka.

Pendirian ini samalah dengan pendirian Obama, yang didesak untuk tidak menyokong masjid berhampiran Pusat Dagangan Dunia (WTC) dengan berkata 'Ini Amerika Syarikat'. Tentulah jika Najib berkata 'Ini Malaysia', sama ada bersetuju atau tidak, sempadan 'autonomi' beliau hendaklah dihormati oleh orang yang menyanjung tinggi falsafah 'autonomi'.

Sama seperti saya tidak akan menganjurkan ramai-ramai berdemonstrasi meluahkan rasa hati saya terhadap seorang bekas warganegara yang tak mahu pulang ke Malaysia dan demikianlah, beliau juga hendaklah tidak mengajak orang lain menyertai beliau semata-mata oleh 'makna' peribadi yang beliau pilih terhadap seruan pulang ke Malaysia.

Kesimpulannya, diam-diam saya ingin membisikkan ke telinga isteri saya bahawa, 'saya tidak akan hidup di dunia ini untuk memenuhi kehendak anda, dan saya juga tidak meminta supaya anda hidup untuk memenuhi kehendak saya. Jika kehendak anda dan kehendak saya serbasama, itu adalah suatu kebetulan yang sangat indah.'

Tan Sri Dr. Nordin Kardi ialah Profesor di kolej sastera dan sains, Universiti Utara Malaysia

Ahad, 15 Ogos 2010

'Boikot kurma Israel'


Yahudi guna buruh kanak-kanak Palestin
2010/08/15 - Berita Harian Online



LONDON: Organisasi Britain yang pro-Palestin, Friends of al-Aqsa melancarkan kempen menggesa umat Islam memboikot kurma ditanam di kawasan penempatan Yahudi di wilayah Palestin yang ditakluki Israel.



Pertubuhan itu menuduh ‘penempatan haram Yahudi menggaji kanak-kanak Palestin bekerja dalam keadaan menyedihkan’ ketika umat Islam menyambut Ramadan.



Organisasi anti-Israel kini melancarkan kempen memulaukan produk Israel dengan menggesa umat Islam memboikot kurma ditanam di kawasan penempatan Yahudi terbabit.


Buah itu dianggap komponen penting dalam amalan berbuka puasa dan mereka yang memakan kurma meningkat dengan ketara di dunia Arab dan Islam bulan ini.

Gesaan memboikot buah kurma dihasilkan Israel itu sudah digesa organisasi pro-Palestin di Eropah dan menerima sokongan dalam media Arab dan Iran.

Friends of al-Aqsa di Britain mengeluarkan pengumuman menggesa umat Islam di Eropah tidak membeli kurma ditanam di Israel.
Menurut organisasi itu, kurma itu datangnya dari penempatan Yahudi di Lembah Jordan dan tidak wajar dimakan.

“Memakan kurma ini, anda membantu penempatan mencuri tanah penduduk Palestin,” menurut kenyataan agensi berita Iran, IRNA.

Kenyataan itu juga menolak dakwaan Israel bahawa memboikot kurmanya menjejaskan penduduk Palestin yang diambil penanam kurma.

“Penduduk Palestin diambil bekerja sebagai pertukaran gaji sedikit dan melakukan kerja yang enggan dilakukan penduduk Yahudi,” kata organisasi itu.

Friends of al-Aqsa mendakwa, penempatan kanak-kanak Palestin dalam keadaan daif dan sebab itulah kurma Israel lebih murah berbanding kurma Palestin.

Organisasi itu juga menuduh eksport kurma dari Lembah Jordan ke Kesatuan Eropah kira-kira 5,000 tan menjana pendapatan AS$64.5 juta (RM204.37 juta) setahun.

Kenyataan memulaukan kurma Israel dikeluarkan bukan saja di Britain, tetapi juga di negara Eropah lain seperti Belgium, Perancis dan Belanda. Persatuan Penanam Buah-buahan Israel masih belum memberi maklum balas terhadap laporan itu. – Agensi

Selasa, 10 Ogos 2010

Salam Ramadhan

Alhamdulillah... segala puji bagi Allah Maha Esa, pentadbir seluruh alam dan tiada sekufu/sekutu baginya, yang menghidupkan Siang dan Malam dan memberikan nikmat yang tidak terhitung nilainya.
Esok kita mula menyambut 1 Ramadhan, seluruh umat islam akan berpuasa yang telah di fardukan ke atasnya.
Dikesempatan ini saya mengucapkan Salam Ramdhan kepada semua rakan2 yang mengunjungi blog aku ini. Samada sebagai pembaca hasil tulisan ku....rakan yang turut meletakkan alamat blog aku di dalam blog dia ka...rakan yang telah membuat ulasan/komen dalam 'posting' yang aku sediakan ka...dan kepada semua blogger2 di seluruh Malaysia.
Juga tidak ketinggalan untuk memohon ampun dan maaf kepada rakan2 di atas sekiranya ada tulisan yang menyinggung perasaan kalian. Semoga ramadhan tahun ini akan memberi keinsafan kepada kita semua.
Diharap Ramadhan tahun ini dapat mendisiplinkan diri aku untuk berhenti merokok. Kawan2 lain juga yang berazam untuk berhenti merokok jadikan bulan Ramadhan sebagai titik permulaan. Do'a kan hasrat aku ini semoga berjaya.
"Bulan Ramadhan Bulan Keinsafan"