Rabu, 28 Julai 2010

Hidup Kampung Ku.....

"Artikel dibawah diambil secara online bagi menunjukkan tanda gembiranya aku mengenai pembangunan kemudahan di KAMPUNG aku. Saya mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada pihak kerajaan khususnya kepada Menteri di Kementerian Kemajuan Luar Bandar Dan Wilayah Yang Berhormat Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal yang berusaha memperuntukkan sebahagian bajet untuk keseluruhan penduduk di Pulau Sebatik".
"Pemilikan kepada Pulau ini terbahagi kepada dua antara Malaysia dan Indonesia. Pulau Sebatik mempunyai sejarahnya tersendiri di mana terjadinya pertempuran hebat antara pasukan Indonesia dan Malaysia ketika Konfrontasi Indonesia-Malaysia pada 1963".
"Semoga Penduduk KAMPUNG ku di limpahi Rahmat, Aman, Sejahtera dan Senantiasa di dalam Lindungan Allah Maha Esa".


http://www.newsabahtimes.com.my/nstweb/fullstory/40924
BALB Pulau Sebatik dijangka beri manfaat kepada 5,000 penduduk
New Sabah Times, 27th July, 2010

TAWAU: Projek Bekalan Air Luar Bandar (BALB) Pulau Sebatik dijangka mula memberi manfaat kepada 5,000 penduduk di pulau itu menjelang Jun 2011.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sebatik Abdul Muis Picho berkata, projek yang dibina bermula Oktober 2009 itu dibiayai Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) dengan kos bernilai RM27 juta.

Katanya, ketika ini pihak kontraktor yang dilantik dilihat giat menjalankan tanggungjawab mereka demi memastikan matlamat dan sasaran projek berkenaan dapat dicapai.

“Apabila projek ini siap kelak, masalah bekalan air bersih di pulau ini dapat diatasi,” katanya.
Selain Projek BALB, Projek Bekalan Elektrik Luar Bandar (BELB) Pulau Sebatik yang bernilai RM120 juta pula bakal memberi manfaat kepada kira-kira 7,000 penduduk sebelum akhir tahun ini.

“Lebih menggembirakan, pihak Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) memberitahu bahawa beberapa kampung turut dijadualkan menikmati bekalan elektrik lebih awal iaitu sebelum Hari Raya ini,” katanya.

Projek BELB itu ujarnya adalah hasil projek penyambungan kabel bawah laut dari Kg. Pasir Putih di tanah besar Tawau ke Kg. Sungai Tongkang di Pulau Sebatik.

Beliau berkata demikian ketika ditemubual selepas mengiringi Timbalan Ketua Setiausaha (Sosio Ekonomi) KKLW, Dato’ Yusoff Dohab dan rombongannya meninjau pelaksanaan kedua-dua projek tersebut di pulau itu kelmarin.

Dalam pada itu, Muis memberitahu bahawa selain Projek BELB dan BALB, beberapa projek pembangunan lain kini dirangka pihaknya untuk dilaksanakan di pulau itu demi manfaat penduduk.

Antara yang sudah diutarakan kepada pihak KKLW jelasnya ialah cadangan menaik-taraf jalan-jalan pertanian sepanjang kira-kira 90 kilometer di pulau terbabit.

“Pembinaan jalan-jalan pertanian ini merupakan satu kemudahan untuk kira-kira 2,000 penduduk yang mempunyai kebun sawit, getah atau koko di Pulau Sebatik ini. “Berdasarkan maklum balas dari KKLW setakat ini, kita difahamkan projek jalan-jalan kampung ini akan dilaksanakan di dalam tempoh Rancangan Malaysia Ke-Sepuluh (RMK10),” jelasnya.
Turut dicadangkan pihaknya untuk dilaksanakan di dalam RMK-10 jelasnya ialah penaikantaraf dua jambatan di pulau itu iaitu Jambatan Kg. Sungai Tamang dan Kg. Sungai Tongkang.

“Kita berterima kasih kepada pihak KKLW di atas keprihatinan mereka terhadap nasib dan keperluan penduduk di Pulau Sebatik ini.

“Keprihatinan mereka itu secara tidak langsung menjadi bukti kesungguhan kerajaan membela nasib rakyat khususnya yang tinggal di luar bandar,” kata beliau. Pada sesi tinjauan itu, Muis, Dato’ Yussof dan rombongan daripada KKLW turut diberi taklimat oleh pihak kontraktor tentang perkembangan terkini pelaksanaan Projek BALB di pulau tersebut.
Hadir sama ialah beberapa pegawai kerajaan dari agensi-agensi berkaitan.

Biawak pulak dapat nama!!! (Biawak vs Tekke)

ini gambar "Tokek"

ini gambar "Biawak"


ARKIB : 23/07/2010 -> UtusanOnline
Siapa sebenarnya 'lidah biawak'?

PULAU PINANG 22 Julai - Gambar-gambar ini sudah cukup membuktikan sikap sebenar Ketua Menteri, Lim Guan Eng.
Jika sebelum ini Guan Eng menggelarkan Pegawai Kemajuan Negeri (SDO), Nik Ali Mat Yunus dengan panggilan-panggilan biadap termasuk lidah biawak, namun gambar-gambar berkenaan menyatakan cerita yang sebenarnya.
Ia dirakam dan diserahkan kepada Utusan Malaysia oleh sumber yang enggan dikenali.
Menurut sumber tersebut, gambar-gambar berkenaan diambil ketika majlis pelancaran kerja-kerja menaik taraf perkhidmatan Keretapi Bukit Bendera di sini pada 20 Oktober tahun lepas.
Katanya, dakwaan Guan Eng bahawa Nik Ali tidak menyediakan tempat duduk semasa majlis berkenaan ternyata bohong.
"Tujuan saya mendedahkan gambar-gambar ini supaya orang ramai boleh menilai sendiri sikap Guan Eng.
"Apa yang didakwanya selama ini ternyata tidak benar, seolah-olah dia (Guan Eng) mereka-reka cerita untuk menggambarkan Nik Ali sebagai seorang yang jahat," katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Beliau menambah, pada majlis tersebut, Setiausaha Agung DAP itu merupakan salah seorang tetamu kehormat selain Menteri Pelancongan, Datuk Seri Dr. Ng Yen Yen dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop.
Jelasnya, ketiga-tiga mereka disediakan kerusi khas yang diletakkan di barisan hadapan para tetamu.
"Memang dia (Guan Eng) tiba kira-kira 10 minit lewat tetapi kerusi yang disediakan untuknya tidak diberikan kepada orang lain.
"Selain itu, pihak penganjur juga menyediakan cenderamata untuk dia," ujarnya.


Selasa, 27 Julai 2010

'0' Plastic EveryDay!!! - Ada Berani!!!


Pada 26 Julai malam, saya dengan isteri berbelanja di Servay Putatan lokasi rumah aku. Pada hari tersebut merupakan hari 'satu' orang KK sebut? iaitu bersamaan hari isnin lah. Setiap bulan semua kelengkapan rumah aku biasanya kami cari di hypermarket ini. Kawan kalu mau senang cari aku...ha belanja la disini. Selain dekat ngan rumah aku, ia juga menawarkan harga yang Patut!
Diingatkan juga setiap hari 'satu' kedai ini melaksanakan kempen 'Tanpa Beg Plastik'. Kalu beli barang dan mahu menggunakan plastik untuk barang-barang anda, kedai ini mengenakan caj sebanyak RM0.20 per Plastik. Bayangkan jika anda berbelanja sakan ~ berapa banyak beg plastik anda gunakan (Plastik tidak baik untuk alam sekitar). Lebih baik kos tersebut dibelanjakan untuk isi perut kita kan. Sumbangan yang anda berikan tadi sebenarnya akan disalurkan ke dana Alam Sekitar di Negeri Kita. Tindakan Bagus dan terpuji di ambil oleh pengurusan syarikat ini dengan kerjasama Kerajaan Negeri.
Pada hari tersebut saya menggunakan satu plastik sahaja, barangan lain saya gunakan troli yang disediakan dan sumbatkan sahaja ke dalam bonet kereta. Sekiranya saya mengetahui kempen pada hari tersebut, nescaya saya akan membawa beg mesra alam sekitar (saya ada beg tu). Kawan2 kalu mau, saya boleh sumbangkan untuk kebaikan alam sekitar! Jadi selepas ini saya akan pastikan di kereta saya akan sentiasa membawa beg mesra alam sekitar bagi tujuan membeli belah.
Usaha murni ni harus diteruskan malah dipanjangkan ke premis2 lain agar kesedaran kepada pengguna dapat ditingkatkan mengenai kepentingan penjagaan Alam Sekitar untuk diwariskan kepada anak cucu kita. Saya amat menyokong kempen ini dan saya mencadangkan kepada Hypermarket ini agar meneruskan kempen ini dan kempen ini juga kalu boleh diadakan sepanjang hari, bukan tertakluk pada hari 'satu' sahaja.
~~ Anda Berani ~~

Isnin, 26 Julai 2010

Kenapa Keras Kepala!

Dikala aku membaca beberapa maklumat secara online...saya turut terpanggil mengongsi tulisan ikhlas dari hamba Allah ini untuk renungan kawan2.

####******####

Pas -UMNO: Cara muzakarah dan ijtihad
Oleh ABDUL RAZAK MAMAT
TABUNG Ittikal Arab Malaysia merupakan unit amanah Islam yang pertama dilancarkan di Malaysia. Di kala itu, tiada harmonisasi (harmonization) untuk melaksanakan pelaburan yang berlandaskan prinsip syariah.
Sebagai contoh, jika saham A ingin dibeli, mungkin ahli panel syariah Ambank akan mengatakan yang ia halal tetapi mungkin tidak halal oleh ahli panel syariah di bank lain.Sehinggalah pihak Suruhanjaya Sekuriti (SC) Malaysia menubuhkan ahli panel Penasihat Syariah (SAC) yang menjadi panduan kepada semua pengurus dana untuk melabur di dalam saham-saham yang berlandaskan prinsip syariah.
SAC akan mengeluarkan fatwa kepada senarai yang diluluskan setiap tiga bulan sekali. Pegawai di SC pula akan membuat kajian berkenaan dengan sesuatu syarikat dan kemudian akan dibentangkan kepada pihak SAC yang terdiri daripada gabungan ulama dan para profesional. Mereka akan berbincang secara tertutup dan apa yang diputuskan sama ada sesuatu syarikat itu halal atau tidak adalah muktamad.
Kesannya, tertegaklah hukum Allah apabila pengurusan dana baik Muslim atau bukan Muslim ingin membuat pelaburan berdasarkan kepada prinsip syariah.
Setelah garis panduan mengenai pelaburan saham berdasarkan kepada prinsip syariah telah dilaksanakan, pihak SC mengorak langkah seterusnya kepada pasaran hutang (debt market).Pada waktu itu, sukuk yang diterbitkan oleh kerajaan Malaysia mendapat tentangan yang keras dari dunia Arab. Mereka mengatakan salah satu prinsip yang digunakan adalah tidak halal kerana ia berkaitan dengan perniagaan hutang (debt trading).
Tetapi pihak SC tetap melaksanakannya dengan niat untuk memperbaiki apabila pasaran modal telah mempunyai kedalamannya (depth and breadth). Alhamdulillah, Malaysia telah pun berjaya meletakkan tempatnya sebagai peneraju kepada pasaran modal Islam di dalam pelaburan saham dan juga pasaran hutang.
Sebenarnya, apa yang ingin saya ketengahkan dalam artikel ini adalah pihak kerajaan dan UMNO telah melaksanakan hukum Allah di dalam bahagian Muamalat. Kerajaan dan UMNO mesti memberi tahu pihak Pas mengenai track record mereka yang sangat cemerlang itu.Apa yang perlu dilakukan adalah membawanya ke meja perundingan (put it on the table) dan katakan kepada pihak Pas bahawa jika mereka ingin melaksanakan hukum hudud, kita kena bersatu.
Kita perlukan majoriti 2/3 untuk menukar Perlembagaan dan Pas hanya boleh melaksanakan hukum hudud cuma dengan cara penyatuan dengan UMNO. Jangan hanya bercakap sahaja di dalam masjid dan surat khabar untuk menegakkan hukum Allah tetapi faktanya tiada apa yang dibuat pun. Semuanya hanya retorik!.
Kita kena ambil iktibar dan pengalaman daripada pihak SAC di SC yang mengambil masa lebih daripada 15 tahun untuk melaksanakan pasaran modal Islam. Kita kena ambil cara mereka bermuzakarah dan berijtihad di dalam bilik yang tertutup. Apabila hukum halal atau haram telah dikeluarkan, maka semua harus akur.
Saya ingin mencadangkan supaya penyatuan UMNO dan Pas ini dimulakan dengan membawa track record kerajaan dan UMNO yang telah dilaksanakan dengan hukum hudud yang ingin dilaksanakan oleh Pas. Kenapa nak bekerjasama dengan Karpal Singh yang terang-terang menentang hukum Allah?
Mudah-mudahan Allah beri petunjuk dan hidayah kepada kita terutamanya kepada Datuk Nik Aziz Nik Mat. Saya juga memohon keampunan ke hadrat Allah SWT buat diri kita dan juga para pemimpin Malaysia. Saya bertanggungjawab ke hadrat Allah sepenuhnya di atas tulisan saya ini.
Penulis ialah seorang Pengurus Dana Islam yang amat mengharapkan perpaduan Pas-UMNO menjadi satu kenyataan.

*** Setahu saya dari sudut agama orang yang keras dan tidak mahu jalan damai ni, kita kena perangi orang yang keras tersebut. Pak Ustaz mungkin boleh perbetulkan maklumat yang saya perolehi ini.