Rabu, 28 Julai 2010

Hidup Kampung Ku.....

"Artikel dibawah diambil secara online bagi menunjukkan tanda gembiranya aku mengenai pembangunan kemudahan di KAMPUNG aku. Saya mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada pihak kerajaan khususnya kepada Menteri di Kementerian Kemajuan Luar Bandar Dan Wilayah Yang Berhormat Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal yang berusaha memperuntukkan sebahagian bajet untuk keseluruhan penduduk di Pulau Sebatik".
"Pemilikan kepada Pulau ini terbahagi kepada dua antara Malaysia dan Indonesia. Pulau Sebatik mempunyai sejarahnya tersendiri di mana terjadinya pertempuran hebat antara pasukan Indonesia dan Malaysia ketika Konfrontasi Indonesia-Malaysia pada 1963".
"Semoga Penduduk KAMPUNG ku di limpahi Rahmat, Aman, Sejahtera dan Senantiasa di dalam Lindungan Allah Maha Esa".


http://www.newsabahtimes.com.my/nstweb/fullstory/40924
BALB Pulau Sebatik dijangka beri manfaat kepada 5,000 penduduk
New Sabah Times, 27th July, 2010

TAWAU: Projek Bekalan Air Luar Bandar (BALB) Pulau Sebatik dijangka mula memberi manfaat kepada 5,000 penduduk di pulau itu menjelang Jun 2011.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sebatik Abdul Muis Picho berkata, projek yang dibina bermula Oktober 2009 itu dibiayai Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) dengan kos bernilai RM27 juta.

Katanya, ketika ini pihak kontraktor yang dilantik dilihat giat menjalankan tanggungjawab mereka demi memastikan matlamat dan sasaran projek berkenaan dapat dicapai.

“Apabila projek ini siap kelak, masalah bekalan air bersih di pulau ini dapat diatasi,” katanya.
Selain Projek BALB, Projek Bekalan Elektrik Luar Bandar (BELB) Pulau Sebatik yang bernilai RM120 juta pula bakal memberi manfaat kepada kira-kira 7,000 penduduk sebelum akhir tahun ini.

“Lebih menggembirakan, pihak Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) memberitahu bahawa beberapa kampung turut dijadualkan menikmati bekalan elektrik lebih awal iaitu sebelum Hari Raya ini,” katanya.

Projek BELB itu ujarnya adalah hasil projek penyambungan kabel bawah laut dari Kg. Pasir Putih di tanah besar Tawau ke Kg. Sungai Tongkang di Pulau Sebatik.

Beliau berkata demikian ketika ditemubual selepas mengiringi Timbalan Ketua Setiausaha (Sosio Ekonomi) KKLW, Dato’ Yusoff Dohab dan rombongannya meninjau pelaksanaan kedua-dua projek tersebut di pulau itu kelmarin.

Dalam pada itu, Muis memberitahu bahawa selain Projek BELB dan BALB, beberapa projek pembangunan lain kini dirangka pihaknya untuk dilaksanakan di pulau itu demi manfaat penduduk.

Antara yang sudah diutarakan kepada pihak KKLW jelasnya ialah cadangan menaik-taraf jalan-jalan pertanian sepanjang kira-kira 90 kilometer di pulau terbabit.

“Pembinaan jalan-jalan pertanian ini merupakan satu kemudahan untuk kira-kira 2,000 penduduk yang mempunyai kebun sawit, getah atau koko di Pulau Sebatik ini. “Berdasarkan maklum balas dari KKLW setakat ini, kita difahamkan projek jalan-jalan kampung ini akan dilaksanakan di dalam tempoh Rancangan Malaysia Ke-Sepuluh (RMK10),” jelasnya.
Turut dicadangkan pihaknya untuk dilaksanakan di dalam RMK-10 jelasnya ialah penaikantaraf dua jambatan di pulau itu iaitu Jambatan Kg. Sungai Tamang dan Kg. Sungai Tongkang.

“Kita berterima kasih kepada pihak KKLW di atas keprihatinan mereka terhadap nasib dan keperluan penduduk di Pulau Sebatik ini.

“Keprihatinan mereka itu secara tidak langsung menjadi bukti kesungguhan kerajaan membela nasib rakyat khususnya yang tinggal di luar bandar,” kata beliau. Pada sesi tinjauan itu, Muis, Dato’ Yussof dan rombongan daripada KKLW turut diberi taklimat oleh pihak kontraktor tentang perkembangan terkini pelaksanaan Projek BALB di pulau tersebut.
Hadir sama ialah beberapa pegawai kerajaan dari agensi-agensi berkaitan.

Tiada ulasan: